TAIPING – Seorang wanita yang dilaporkan hilang dipercayai terjun ke dalam sungai di belakang rumahnya di Kampung Tepi Sungai, Kuala Sepetang di sini ditemui lemas pada malam ini.
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada pukul 6.58 petang.
“Sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Taiping segera ke lokasi kejadian.
“Operasi mencari mangsa dilakukan dengan menggunakan kaedah pencarian di permukaan (surface searching) sejauh 50 meter dari lokasi dilaporkan hilang,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Jelas jurucakap itu, pada pukul 9 malam, mangsa berusia 34 tahun yang juga orang kelainan upaya (OKU) ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri tidak jauh dari lokasi dia terjatuh.
Mangsa telah disahkan meninggal dunia di tempat kejadian dan mayatnya telah diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut. Operasi ditamatkan pada pukul 9.15 malam. – K! ONLINE