JASIN – Dua orang duda yang bekerja sebagai buruh dicekup polis selepas dipercayai turut menjadi tokan dadah dalam serbuan di sebuah rumah di Felcra Bukit Sedanan, Selandar di sini, semalam.
Kedua-dua suspek berusia 44 dan 46 tahun itu antara 47 individu yang berjaya diberkas dalam serbuan Op Tapis oleh pasukan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Kontinjen Melaka dan Ibu Pejabat Polis Daerah Jasin.
Ketua JSJN negeri, Superintendan Zulkiflee Rashid berkata, bertindak atas maklumat awam, serbuan telah dilakukan pada pukul 1.30 pagi di rumah tersebut yang didiami kedua-dua suspek berkenaan.
Katanya, hasil pemeriksaan di bilik belakang menjumpai satu beg kain yang mengandungi tiga peket plastik lutsinar berisi ketulan disyaki dadah heroin bernilai RM600 dan satu peket disyaki dadah syabu RM300.
“Hasil soal siasat kedua-dua suspek yang juga merupakan duda mengakui menjalankan aktiviti pengedaran dadah heroin dan syabu di kawasan Selandar.
“Ujian saringan awal air kencing suspek turut dapati positif dadah MOP,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Tambahnya, semakan lanjut suspek berusia 44 tahun itu juga mempunyai tiga rekod lampau berkaitan dadah, manakala rakannya empat rekod atas kesalahan sama.
“Polis turut merampas sebuah motosikal jenis Yamaha 15ZR bernilai RM10,000 yang dipercayai digunakan suspek bagi aktiviti pengedaran dadah tersebut,” katanya.
Mengulas lanjut mengenai tangkapan yang lain, Zulkiflee berkata, seramai 41 suspek yang ditahan merupakan lelaki manakala empat lagi adalah wanita dalam lingkungan usia 19 tahun sehingga 41 tahun ke atas.
“Kesemua mereka merupakan warga tempatan yang berjaya dicekup dalam 50 serbuan berasingan. Lapan tangkapan dibuat membabitkan kesalahan bekalan, 13 memiliki, 24 kesalahan ujian air kencing dan dua wanted.
“Kita telah merampas keseluruhan 33.68 gram heroin, syabu (12.20 gram) dan cecair ketum 32.7 liter. Kesemua rampasan ini bernilai RM2,750,” katanya.
Katanya, kedua-dua duda tersebut disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952, manakala yang lain ditahan bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 12(3)/30(3)/15(1)(a) akta sama. – K! ONLINE