fbpx

Peluang besar Helang Merah benam Harimau Selatan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ZULKIFLI yang turut dikenali sebagai ‘Puaka Jerai’ mahu skuad KDA FC mengambil peluang daripada prestasi kurang memberangsangkan yang ditampilkan JDT pada aksi Liga Super di Alor Setar malam ini.

Oleh MOHD. RAFIE AZIMI

“BAWA bersama semangat kami para penyokong ketika menentang JDT!”

Itu pesanan para penyokong Kedah Darul Aman FC (KDA FC) kepada para pemain skuad Hijau Kuning menjelang perlawanan bertemu JDT di Stadium Darul Aman malam ini.

Rata-rata penyokong KDA FC berpendapat bahawa aksi kali ini merupakan peluang besar dan kesempatan terbaik Helang Merah memintas JDT di puncak liga sebelum terus berusaha mengekalkan momentum untuk berada di kedudukan teratas.

Menurut salah seorang ikon penyokong pasukan itu, Zulkifli Hashim yang turut dikenali sebagai ‘Puaka Jerai’, prestasi kurang memberangsangkan yang ditampilkan JDT pada dua perlawanan lalu harus diambil iktibar buat skuad kendalian Aidil Sharin Sahak itu.

Katanya, para pemain diharapkan dapat menampilkan aksi lebih bersemangat pada perlawanan itu biarpun tanpa kehadiran penyokong setia seperti perlawanan-perlawanan sebelum ini.

“Walaupun kami tidak berada di dalam stadium, tetapi para pemain perlu tahu bahawa kami sentiasa ada di belakang untuk menyokong mereka. Oleh itu, tolong bawa bersama semangat kami ketika mereka berada di padang apabila berdepan JDT nanti.

“Walaupun mungkin sukar, namun JDT bukan mustahil untuk ditewaskan. Jika Terengganu FC mampu melakukannya di ‘rumah’ JDT, saya yakin kita turut mampu berbuat demikian di laman kita sendiri,” katanya di Alor Setar semalam.

Kelmarin Ketua Pegawai Eksekutif Malaysian Football League, Datuk Ab. Ghani Hassan melalui satu kenyataan memaklumkan perlawanan membabitkan ke­dua-dua pasukan itu bakal dilangsungkan secara tertutup tanpa kehadiran penonton ekoran pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di Kota Setar iaitu lokasi terletaknya stadium tersebut.

Sementara itu, jurucakap Gabungan Ukhwah Lang Merah (GULM), Mohd. Safarizal Mohd. Sobri mengakui, ramai peminat KDA FC yang berdukacita kerana tidak dapat memberi sokongan secara terus kepada para pemain pada perlawanan itu nanti.

Namun katanya, mereka akur dengan langkah tersebut yang dibuat demi keselamatan dan kesihatan semua pihak.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI