KOTA BHARU – Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan menyerahkan sepenuhnya kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk membuat keputusan sama ada Pilihan Raya Kecil (PRK) Melor perlu diadakan atau sebaliknya selepas penyandang kerusi itu Dr. Md. Yusnan Yusof meninggal dunia Jumaat lalu.
Speaker DUN Kelantan, Datuk Abdullah Ya’kub berkata, meskipun perkara itu berada bawah bidang kuasa SPR, segala keputusan perlu berpandukan kepada budi bicara daripada DUN Kelantan untuk memaklumkan notis kekosongan kerusi itu.
Menurutnya, mengikut peraturan, PRK perlu diadakan kerana tempoh matang selama tiga tahun itu masih belum cukup dan masih berbaki sembilan hari daripada tarikh bekas wakil rakyat itu meninggal dunia.
“Jika situasi biasa (sebelum Covid-19) akan ada PRK. Bagaimanapun, DUN Kelantan serah kepada SPR untuk membuat keputusan dengan mengambil kira situasi semasa darurat dan Covid-19 yang sedang melanda ketika ini,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar di pejabatnya di Kompleks Kota Darulnaim di sini hari ini.
Abdullah memberitahu, DUN Kelantan akan menyerahkan notis pemakluman kekosongan kerusi DUN Melor itu kepada SPR pada hari ini.
Katanya, notis pemakluman itu akan dilakukan oleh Setiausaha DUN Kelantan di Pejabat SPR Kota Bharu menerusi serahan tangan.
Pada Jumaat lalu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Melor, Dr. Md. Yusnan meninggal dunia di rumahnya di Ketereh kira-kira pukul 2 pagi akibat serangan jantung.
Dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 yang lalu, Md. Yusnan mewakili Pas memenangi kerusi DUN Melor dengan majoriti 647 undi.
Beliau meraih 7,820 undi menewaskan calon Barisan Nasional, Azmi Ishak yang mendapat 7,173 undi dan calon Pakatan Harapan (PH) Abdul Aziz Abdul Kadir 2,122 undi.
Berdasarkan kepada Perkara 46(5) Bahagian Pertama Undang-undang Perlembagaan Tubuh Kerajaan Negeri Kelantan, kekosongan sesuatu kerusi DUN Kelantan perlu diisi dalam tempoh 60 hari daripada tarikh SPR mendapati kerusi tersebut kosong.-K!ONLINE