PETALING JAYA – Hanya dua bulan selepas kembali rujuk pada 2 Mac lalu, pelakon Zarina Anjoulie bercerai buat kali kedua dengan suaminya, Eilyas Azhar.
Pendedahan tersebut dibuat Zarina atau nama sebenarnya Zarina Anjoulie Lavocah Mohd. Fahizul, 34, menerusi Instagramnya kelmarin.
“Ramai tanya, betul ke Anju (Zarina) dan Yas (suami) dah cerai. Yes, betul kami dah cerai,” tulis pelakon yang pernah membintangi drama Anak Pontianak itu.
Selain menggambarkan Eilyas asyik mahu bercerai jika setiap kali bergaduh, Zarina juga meminta bekas suaminya untuk memulangkan semua barangan yang telah diberi sebelum ini seperti beg Gucci dan telefon bimbit.
“Alhamdulillah, kau dah ceraikan aku. Jangan malu-malu bagi barang-barang aku balik yang kau pakai, beg, kasut sebab aku bukan sugar mummy kau ya.
“Kau dah boleh pergi beli telefon baharu, aku nak telefon aku balik,” tulis Zarina dalam Instastorynya.
Zarina turut mendedahkan bekas suaminya menceraikannya selepas menerima RM500 daripadanya semalam.
“Dapat RM500 daripada aku semalam terus nak cerai,” tulisnya.
Sementara itu, bekas suaminya, Eilyas atau lebih dikenali sebagai Yas turut membuka mulut tentang perceraian mengejutkan yang sekali lagi berlaku terhadap mereka.
Yas yang merupakan seorang pekerja belakang tabir itu mengakui telah menceraikan Zarina dengan satu lagi talak menerusi satu entri yang dimuat naik dalam Instastorynya semalam.
“Alhamdulillah aku dah cerai. Anju nak benda ni viral supaya dia boleh dapat views yang tinggi. Jom support.
“Aku ceraikan Zarina Anjoulie dengan talak satu sekarang. Mana tahu nanti dia cakap tidak tahu pula.
“Hakim minta saksi nanti ke? Eloklah aku selitkan lafaz di sini sekali,” tulis Yas.
Selain itu, Yas turut menafikan bahawa hidupnya selama ini ditanggung oleh Zarina. Mengulas mengenai sebuah beg jenama Gucci yang dituntut Zarina, Yas berkata, wanita itu yang berkeras mahu menghadiahkan beg berkenaan kepadanya.
Sebelum ini, tidak sampai sebulan selepas mengumumkan perceraian mereka pada 27 Januari, Zarina dan bekas suaminya rujuk semula kerana tidak mahu berputus asa dengan perkahwinan yang dibina pada 17 Julai 2020 berakhir begitu sahaja.
Terdahulu, Zarina pernah mendirikan rumah tangga dengan lelaki berasal dari Brunei pada 2015 dan bercerai pada Disember 2016.
Hasil perkahwinan tersebut mereka dikurniakan seorang anak lelaki, Awangku Gabriel Martin Ezra yang kini berusia lima tahun.-K! ONLINE