fbpx

10 tan hasil hutan tanpa dokumen dirampas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Abdul Khalim (kanan) menunjukkan tunggul dan produk kayu yang dirampas di Rantau Panjang baru-baru ini.-Foto BAHRUDDIN HATTA

TANAH MERAH – Jabatan Perhutanan Negeri Kelantan (JPNK) merampas kira-kira 10 tan tunggul, kulit, bongkah kayu dan produk hasil hutan dalam tiga serbuan berasingan di sebuah kilang kayu serta dua premis di sini baru-baru ini.

Dalam serbuan itu, ketiga-tiga syarikat perniagaan itu didapati menyimpan hasil hutan seperti kayu jenis tembusu, damar minyak dan mahogani tanpa dokumen yang sah dari JPNK pada 29 April hingga 1 Mei lalu.

Pengarahnya, Abdul Khalim Abu Samah berkata, semasa serbuan dijalankan, ketiga-tiga pemilik perniagaan itu gagal mengemukakan dokumen sah terhadap hasil hutan yang berada di sekitar kawasan premis mereka.

Katanya, serbuan dijalankan selepas JPNK menerima aduan dan maklumat awam mengenai ketiga-tiga premis itu yang menyimpan hasil hutan.

“Siasatan terhadap pemilik premis mendapati mereka membeli semua hasil hutan itu daripada penduduk kampung di sekitar daerah ini dan Rantau Panjang sebelum dijual melalui perniagaan masing-masing.

“Kita telah mengambil tindakan dengan merampas semua hasil hutan di ketiga-tiga premis berkenaan. Selain itu, empat unit mesin pemotong yang dipercayai digunakan untuk memotong kayu-kayu itu turut disita,” katanya pada sidang akhbar di JPNK Tanah Merah di sini hari ini.

Menurut Abdul Khalim, semua hasil hutan yang dirampas akan disimpan di stor simpanan barang rampasan di Manal di sini manakala ketiga-tiga pemilik premis itu diserahkan kepada pihak polis untuk siasatan lanjut.

Katanya, Unit Siasatan JPNK masih sedang menilai anggaran jumlah keseluruhan hasil hutan yang dirampas di ketiga-tiga buah premis itu.

Tambahnya, kes disiasat mengikut Seksyen 84(1), Akta Perhutanan Negara 1984 kerana memiliki hasil hutan secara menyalahi undang-undang dan Seksyen 69(1), Akta Perhutanan Negara 1984 kerana operator loji penukaran dikehendaki mempunyai pas pemindah serta rekod ukuran.-K!ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI