fbpx

‘Hana rindu mama’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Tangkap layar luahan hati anak mangsa.

Oleh SITI A’ISYAH SUKAIMI

PUTRAJAYA – “Hana rindu mama sangat sangat,” itu antara luahan hati seorang remaja perempuan berusia 14 tahun iaitu anak Pensyarah Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) yang dibunuh suaminya pada 29 Julai lepas.

Luahan hati itu dimuat naik pada laman sosial Facebook sekali gus meruntun jiwa sesiapa yang membacanya.

Berdasarkan catatan penuh ditulis remaja itu, dia meluahkan penghargaan kepada ibunya serta mendoakan dapat bertemu wanita kesayangannya itu di akhirat kelak.

“Hana harap mama tahu yang mama sentiasa disayangi orang di sekeliling mama. Terima kasih mama.

“Mama ditimpa ujian demi ujian lalu tiba masanya untuk mama pergi. Hana rindu mama sangat sangat. Semoga kita ditemukan semula arwah mama sayangku,” katanya menerusi luahan tersebut.

Sementara itu, Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Dr. Noraini Ahmad turut memuat naik ucapan takziah pada laman Facebook beliau semalam.

“Salam takziah kepada seluruh keluarga arwah. Semoga arwah ditempatkan dalam kalangan orang-orang yang beriman dan seluruh ahli keluarga tabah menghadapi dugaan Allah. Al-Fatihah,” katanya.

Kosmo! semalam melaporkan, Prof. Madya Dr. Maizatulnisa Othman, 40, dibunuh suaminya berusia 41 tahun dengan menjerut leher wanita itu menggunakan tudung yang dipakai dalam kejadian di Taman Mas, Putra Perdana dekat sini pada 29 Julai lepas.

Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Wan Kamarul Azran Wan Yusof berkata, suspek bertindak menjerut leher mangsa kira-kira 10 minit sehingga mati di dalam kenderaan jenis Perodua Myvi berwarna putih.

Beliau berkata, suspek kemudian membawa mayat mangsa menghala ke tasik PKNS Pinggiran Cyberjaya kira-kira pukul 4.30 petang dan menukarkannya ke tempat pemandu serta meninggalkannya dalam keadaan enjin kereta dihidupkan.

Katanya, suspek kemudian berpura-pura dan bertindak menghubungi MERS 999 pada awal pagi dan memberitahu isterinya tidak sedarkan diri di dalam kereta berhampiran tasik tersebut. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI