KOTA BHARU – Lembaga Tabung Haji (TH) sudah mengenal pasti senarai nama jemaah yang layak untuk menunaikan ibadah haji pada tahun ini berdasarkan penilaian dan faktor kesihatan.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Ahmad Marzuk Shaary berkata, sehubungan dengan itu, TH sudah membuat persiapan untuk persediaan jemaah yang akan menunaikan rukun Islam kelima itu.
“TH sudah mengenal pasti nama-nama yang diutamakan berdasarkan kepada penilaian dan juga berdasarkan kepada faktor kesihatan.
“Bagaimanapun, kita masih belum terima lagi jumlah kuota terkini yang diumumkan oleh kerajaan Arab Saudi. Jika sudah diterima, kita akan memenuhi syarat ditetapkan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan barangan keperluan harian dan wang tunai kepada golongan asnaf, ibu tunggal serta anak yatim sempena Ramadan dan Aidilfitri di Pusat Khidmat Parlimen Pengkalan Chepa di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Marzuk berkata, suntikan vaksinasi perlu dilakukan kepada bakal haji dalam tempoh tertentu sebelum berangkat ke Mekah dan pihak TH sudah bekerjasama dengan Kementerian Kesihatan (KKM) berhubung perkara berkenaan.
“Jumlah jemaah haji yang terpilih nanti mungkin akan berkurangan kerana kes jangkitan Covid-19 di negara kita masih tinggi ketika ini,” katanya.
Sebelum ini, kerajaan mengumumkan kuota seramai 40,000 untuk bakal haji, namun jumlah itu akan berubah disebabkan Covid-19. – K! ONLINE