PETALING JAYA – Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN) sudah mencecah sebanyak 4.90 juta akaun dengan jumlah deposit RM8.51 bilion setakat 31 Mac lalu.
Pengerusi Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata, data terkini itu menunjukkan SSPN yang dilancarkan pada 2004 kekal sebagai pelan simpanan pendidikan terbaik pilihan utama ibu bapa.
Katanya, beliau berbangga dengan pencapaian itu kerana ia juga menggambarkan usaha PTPTN dalam membudayakan penabungan tidak sia-sia.
“Produk simpanan SSPN sesuai untuk semua lapisan masyarakat di bandar atau luar bandar. Malah ia disediakan untuk memenuhi keperluan dan kehendak seluruh masyarakat terutama golongan M40 dan B40.
“Masyarakat kini semakin cakna dan peka tentang pentingnya menabung dari awal usia untuk masa depan pendidikan tinggi anak-anak,” katanya pada Majlis Pelancaran Kempen Jom Beraya Jom Menyimpan SSPN 2021 yang diadakan secara maya hari ini.
Wan Saiful berkata, sebagai tanda penghargaan kepada mereka yang terus menyokong SSPN, PTPTN melancarkan Kempen Jom Beraya Jom Menyimpan 2021.
Jelas beliau, kempen itu mencerminkan keprihatinan PTPTN kepada rakyat Malaysia untuk sentiasa mengutamakan simpanan dalam musim perayaan.
Menurut beliau, melalui kempen itu PTPTN ingin memberi duit raya berjumlah hampir RM200,000 untuk 500 pemenang.
Katanya, hadiah utama ditawarkan adalah duit raya berjumlah RM8,000 bagi cabutan peringkat nasional, manakala duit raya bernilai RM5,000 adalah hadiah utama bagi cabutan peringkat negeri.
“Tempoh promosi kempen ini dilaksanakan selama sebulan bermula 1 Mei 2021 hingga 31 Mei 2021,” katanya.
Tambah beliau, orang ramai layak mendapat satu cabutan bagi peringkat negeri dengan simpanan bersih serendah RM100 dalam tempoh promosi.
“Manakala bagi simpanan bersih serendah RM300 dalam tempoh promosi, anda akan layak menyertai cabutan peringkat nasional,” katanya. – K! ONLINE