Oleh AIMUNI TUAN LAH
GUA MUSANG – Seorang buruh Majlis Daerah Gua Musang ditemui mati di rumahnya di Jalan Kesedar Inn di sini petang semalam.
Mayat lelaki yang berusia 30 tahun itu dijumpai mati sejak tiga hari lalu di dalam sebuah bilik rumah berkembar dua pintu Kuarters Pejabat Jajahan Gua Musang di sini kira-kira pukul 2.35 petang.
Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Mohd. Taufik Maidin berkata, pihaknya menerima panggilan daripada seorang lelaki berhubung kejadian itu.
Katanya, sejurus menerima laporan, anggota polis bergegas ke lokasi dan menemui badan mangsa sudah membengkak.
“Ketika kejadian, mangsa yang mempunyai isteri dan dua anak tinggal seorang diri di rumah terbabit.
“Isteri mangsa bersama dua anak pulang ke rumah keluarganya di Kampung Bertam dekat sini untuk menyambut Hari Raya Aidiladha sejak Khamis lalu,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.
Mohd. Taufik berkata, berdasarkan rekod kesihatan, mangsa sebelum ini pernah menerima rawatan di hospital akibat sakit dada.
Katanya, mangsa dipercayai meninggal dunia dua hari lalu selepas lehernya terjerut dengan tali berdasarkan keadaan mayat yang sudah bengkak.
“Mangsa berjumpa kali terakhir dengan keluarga pada malam Jumaat lalu. Siasatan awal juga mendapati tiada unsur jenayah terhadap mangsa,” katanya.
Tambah Mohd. Taufik, mayat mangsa dihantar ke Hospital Gua Musang untuk proses bedah siasat sebelum diserahkan kepada ahli keluarganya untuk dikebumikan.
Kes itu diklasifikasikan sebagai mati mengejut. – ! ONLINE