JITRA – Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) bakal melancarkan pelan strategik pada awal bulan depan sebagai langkah penambahbaikan bagi memastikannya terus kekal relevan.
Pengerusinya, Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata, pelan strategik bagi tempoh lima tahun itu merangkumi aspek penjenamaan, peranan dimainkan serta teknologi digunakan.
“Pihak kami kini berada di peringkat akhir bagi melancarkan pelan strategik tersebut dengan semua perkara yang termaktub di dalamnya menjurus kepada perkhidmatan lebih baik kepada rakyat.
“Antara perkara yang diberi penekanan adalah penjelasan mengenai peranan kita supaya rakyat faham bahawa PTPTN tidak hanya sekadar memberi pinjaman sebaliknya peranan utama kita adalah tabungan, sesuai dengan namanya,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar pada Majlis Penyerahan Sumbangan Ihya Ramadan Parlimen Kubang Pasu Anjuran Pusat Khidmat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Kayu Hitam Dengan Kerjasama PTPTN di Pejabat Agama Daerah Kubang Pasu di sini hari ini.
Sementara itu Wan Saiful berkata, kefahaman rakyat terhadap peranan dimainkan PTPTN dilihat semakin meningkat dengan jumlah tabungan juga kian bertambah sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
“Kalau dulu asal sebut PTPTN, yang diingat cuma pinjaman pendidikan saja tetapi kini rakyat mula sedar bahawa kita turut menekankan penabungan dengan jumlahnya meningkat berkali ganda sejak tiga tahun lepas,” tambahnya. – K! ONLINE