PARIS – Neymar berjaya mempamerkan aksi cemerlang bagi memastikan Paris Saint-Germain (PSG) kekal berada pada landasan perebutan kejuaraan Ligue 1 musim ini selepas menang 2-1 ke atas RC Lens di Parc des Princes malam kelmarin.
Neymar yang berjaya meledak satu gol sebelum mencipta umpanan jaringan buat Marquinhos menyaksikan PSG terus mengejar pendahulu Ligue 1, Lille dengan perbezaan satu mata dalam baki tiga perlawanan sahaja lagi.
Ia selepas Lille turut berjaya meraih tiga mata selepas menewaskan Nice 2-0 hasil jaringan daripada Burak Yilmaz dan Zeki Celik awal pagi semalam.
Ketua jurulatih PSG, Mauricio Pochettino berbangga dengan komitmen barisan pemainnya terutama Neymar ketika menentang Lens di tempat kelima yang mengintai peluang layak ke Liga Europa musim depan.
“Ini adalah satu perlawanan yang sangat sukar. Lens mempamerkan corak bola sepak yang sangat bagus dengan gaya permainan mereka itu berjaya membuatkan kami terpaksa berhempas pulas.
“Bagaimanapun, kami lebih berhak meraih kemenangan selepas bekerja keras dalam perlawanan ini,” katanya.
Dalam masa sama, kemenangan itu menyuntik semangat para pemain PSG untuk menghadapi aksi timbal balik separuh akhir Liga Juara-Juara menentang Manchester City di Stadium Etihad pada Rabu ini.
“Kami akan melihat keadaan pemain. Jadual musim ini sememangnya gila, jadi kami perlu tunggu hingga saat terakhir untuk membuat keputusan siapa yang akan diturunkan nanti,” jelas Pochettino. – AGENSI