YAN – Meskipun sudah dua tahun berlalu, kejadian tragis yang meragut nyawa dua anak kesayangan Noorhasyelawati Yusoff, 39, masih membekas dalam hatinya terutama menjelang Hari Raya Aidilfitri.
Mangsa, Nurul Hanim Idris, 5, dan adiknya, Mohammad Hafiz, 1, maut bermandikan darah selepas dikelar jiran mereka semasa tidur di dalam rumah di Kampung Tengah, Jalan Kuala Sungai di sini pada 8 Januari 2019.
Noorhasyelawati berkata, dia masih terbayang keletah dua anak kecilnya itu ketika sibuk melakukan persiapan berbuka puasa dan hari raya.
“Dua tahun lalu, pada waktu begini, sebagai tukang jahit sudah pastinya saya sibuk menyiapkan baju raya termasuk untuk arwah.
“Namun, sejak kejadian itu, saya berhenti menjahit kerana berasa sedih dan teringatkan mereka (Nurul Hanim dan Mohammad Hafiz) setiap kali mahu mulakan kerja (menjahit),” katanya ketika ditemui di rumahnya baru-baru ini.
Menurut Noorhasyelawati, dia cuba untuk melupakan kejadian berdarah itu, namun sukar kerana menyaksikan sendiri dua anaknya kaku dan berlumuran darah di atas katil.
“Disebabkan bimbang tak dapat melawan rasa rindu, saya menyerahkan hampir semua pakaian mereka kepada keluarga terdekat,” katanya.
Wanita itu berkata, dia reda dengan kejadian tersebut, namun naluri seorang ibu membuatkannya sukar melupakan kedua-dua anaknya dan gambar sebagai pengubat rindu.
Kini Noorhasyelawati menumpukan sepenuh perhatian kepada anak sulungnya, Mohd. Hakimi, 9.
Bercerita lanjut, wanita itu berkata, dia tidak dapat memaafkan perbuatan suspek yang berusia 49 tahun.
“Saya difahamkan dia (suspek) masih di penjara dan dalam proses perbicaraan. Saya harap dia dikenakan hukuman berat akibat perbuatan kejam tersebut.
“Sekurang-kurangnya dengan hukuman berat itu dapat meringankan penderitaan kami sekeluarga walaupun saya sedar dua anak kesayangan saya telah pergi selama-lamanya,” katanya.
Dalam kejadian pada pukul 11.45 malam, 8 Januari 2019, Nurul Hanim dan Mohammad Hafiz ditetak serta dikelar suspek dipercayai mengamuk.
Sebelum kejadian, lelaki itu dikatakan memanggil bapa kepada dua beradik tersebut sebelum menendang pintu dan menerjah masuk ke dalam rumah.
Suspek yang memiliki lima rekod kes dadah kemudian menetak dan mengelar mangsa yang sedang tidur dengan parang.