SHAH ALAM- Kerajaan Selangor menafikan telah menguar-uarkan keputusan mesyuarat Majlis Keselamatan Negara (MKN) negeri yang telah berlangsung.
Pejabat Menteri Besar Selangor pada hari ini telah membuat keratan grafik menafikan keputusan mesyuarat berkenaan, setelah tular mesej kononnya hasil mesyuarat itu.
Dalam mesej yang ditular itu, terdapat beberapa arahan dan cadangan beberapa perkara yang telah dikeluarkan oleh MKN Selangor.
Antara maklumat yang terkandung dalam mesej itu seperti pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di seluruh negeri yang dijangka berkuatkuasa antara 4 atau 5 Mei ini.
Selain itu, mesej itu menyebut bahawa pergerakan antara daerah semasa PKP tidak dibenarkan dan semua bazar Ramadan serta pasar malam juga tidak boleh beroperasi.
“Murid yang tinggal di sekolah asrama dibenarkan pulang bersama ibu bapa mereka dalam tempoh dua hari sebelum kuatkuasa PKP,” tulis mesej itu.
Sebelum ini, Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari dalam ciapan akaun Twitternya memaklumkan kerajaan Selangor akan memanggil Jawatankuasa Kerja Keselamatan Negara (Negeri Selangor) pada Jumaat lalu.
Beliau berkata, tujuan mesyuarat itu diadakan bagi meneliti semula pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Selangor.-K! ONLINE