SILVERSTONE – Jaguh dunia, Lewis Hamilton melakukan pemanduan luar biasa untuk meraih kemenangan penuh dramatik pada Grand Prix (GP) Britain meskipun tayar jenteranya pecah pada pusingan terakhir di Litar Silverstone tadi.
Tayar depan sebelah kiri jentera pelumba Mercedes itu tiba-tiba pancit sebelum pecah pada pertengahan pusingan terakhir, namun Hamilton berjaya menamatkan saingan di hadapan pelumba Red Bull, Max Verstappen.
Verstappen mungkin boleh memenangi perlumbaan itu sekiranya dia tidak memasuki pit untuk menukar tayar baharu hingga memberi jurang masa besar kepada Hamilton.
Rakan sepasukan Hamilton, Valtteri Bottas turut mengalami masalah sama apabila tayarnya pancit lebih awal iaitu pada dua pusingan terakhir menyebabkannya menamatkan saingan di kedudukan ke-11.
Pemandu McLaren, Carlos Sainz yang berada di kedudukan ketiga juga berdepan masalah tayar pancit pada pusingan terakhir hingga jatuh dari tempat keempat sebelum berakhir di kedudukan ke-13.
Tuah kepada pemandu Ferrari, Charles Leclerc yang berada di belakang Sainz kerana berjaya memperoleh kedudukan podium ketiga dalam situasi penamat saingan penuh dramatik itu.
“Sejak awal perlumbaan hingga pusingan terakhir, segalanya berjalan lancar.
“Tayar juga dalam keadaan sangat baik. Bottas benar-benar memberi tekanan dan saya berjaya menguruskan tayar dengan baik ketika itu.
“Saya mula sedar tayar bermasalah tapi belum benar-benar tahu ia pancit sehingga saya membrek untuk mengambil selekoh.
“Saya benar-benar berdepan kesukaran untuk melalui dua selekoh terakhir sebelum saya menekan minyak untuk meluncur ke garisan penamat,” kata Hamilton. – K! ONLINE