fbpx

Situasi Covid-19 sangat kritikal – Sultan Johor

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Sultan Ibrahim

JOHOR BAHRU – Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar berharap agar pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dirancang kerajaan adalah yang terakhir dibuat untuk mengawal pandemik Covid-19.

Baginda bertitah, jika ia dilaksanakan, perintah itu harus dilakukan secara berkesan dengan memastikan orang ramai turut memainkan peranan bagi menjayakan peraturan yang dikuat kuasa.

“Setiap kali apabila kita merasakan bahawa keadaan mula pulih daripada penularan Covid-19, namun sebaliknya jumlah kes yang dicatatkan kembali meningkat lagi.

“Kita sekarang berada pada tahap yang sangat kritikal. Jumlah kes tidak menunjukkan tanda penurunan dan beberapa negeri termasuk Johor kini menjadi negeri berisiko tinggi.

“Pengorbanan mesti dibuat untuk kebaikan semua. Jangan kita menyesal kemudian hari, tiada gunanya,” titahnya.
Baginda bertitah demikian dalam satu kenyataan yang dimuat naik di akaun Facebook rasmi milik baginda, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar hari ini.

Semalam, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, kerajaan akan menilai semula PKP yang sedang berkuat kuasa khususnya di negeri-negeri mengalami peningkatan mendadak kes positif Covid-19.

Titah Sultan Ibrahim, walaupun sistem penjagaan kesihatan negara diurus tadbir dengan baik, namun semuanya mempunyai batas.

“Jika beban yang terpaksa ditanggung menjadi keterlaluan, pasti akan membawa akibat yang tidak dapat dibayangkan.

“Kita tidak boleh membiarkan keadaan menjadi tidak terkawal seperti yang sedang berlaku di India sekarang. Kerajaan negeri diharap akan mengambil keputusan yang bijaksana dan bertindak demi kepentingan rakyat.

“Beta menggesa rakyat Johor agar segera mendaftar untuk menerima suntikan vaksin. Percayalah kepada pakar kesihatan yang sahih, bukan khabar angin,” titah baginda. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI