LIVERPOOL – Pengurus Liverpool, Jurgen Klopp enggan menyembunyikan hasratnya untuk menyaksikan pasukan-pasukan pesaing mereka kehilangan mata pada baki saingan musim ini ketika mereka bakal berdepan Manchester United malam ini.
Ketika baki saingan musim ini berbaki 15 mata untuk dikutip, Liverpool berdepan kemungkinan gagal menamatkan saingan di kelompok empat pasukan teratas dan terlepas slot ke saingan Liga Juara-Juara musim depan.
“Lima kemenangan memang masih belum cukup kerana ia bergantung kepada keputusan pasukan lagi tetapi tanpa lima kemenangan kami langsung tidak akan mempunyai peluang.
“Kami kekurangan empat atau lima mata dengan baki 15 mata yang masih berpeluang untuk kami raih, kenapa tidak kami mencubanya.
“United masih berfikir bahawa mereka mampu mencabar kejuaraan musim ini dan kami pula merasakan bahawa peluang ke Liga Juara-Juara belum tertutup sepenuhnya.
“Namun, kami perlu memenangi perlawanan yang kami hadapi terlebih dahulu sebelum mengharapkan pesaing kami tercicir mata,” katanya.
Bagaimanapun, Klopp mengakui bahawa pasukannya akan tetap beraksi di saingan Liga Europa musim depan dengan penuh rasa hormat sekiranya gagal untuk mengakhiri musim di kelompok empat pasukan teratas.
“Sejak saya tiba di England, kami hanya beraksi sekali di Liga Europa dan kami mara ke pentas final pada 2016 dan ia memberikan memori yang baik buat kami.
“Malam tadi (kelmarin) saya melihat United tidak berdepan masalah untuk menikmati saingan tersebut.
“Ia bergantung kepada kejohanan mana yang anda sertai. Ia adalah pertandingan yang cukup baik dan saya menghormati saingan ini. Ia turut memberi ruang untuk kami kembali ke Liga Juara-Juara melaluinya,” katanya. – AGENSI