fbpx

Masuk Kampung Orang Asli perlu kebenaran JAKOA

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

PETALING JAYA – Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) menegaskan semua individu termasuk kumpulan atau Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) perlu mendapatkan kebenaran daripada JAKOA terlebih dahulu sebelum melaksanakan program khidmat masyarakat atau menghantar bantuan ke perkampungan masyarakat Orang Asli.

Timbalan Menteri I Pembangunan Luar Bandar, Datuk Sri Abdul Rahman Mohamad berkata, perkara itu adalah selaras dengan Seksyen 14 dan Seksyen 15, Akta 134, Akta Orang Asli 1954.

“Pihak JAKOA dimaklumkan bahawa terdapat beberapa individu dan NGO telah masuk ke perkampungan Orang Asli untuk melaksanakan program berbuka puasa dan menghantar bantuan tanpa kebenaran.

“JAKOA turut dimaklumkan bahawa peserta yang hadir pada program tersebut telah datang dari kawasan yang diisytiharkan sebagai zon merah,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Abdul Rahman berkata, selain daripada melanggar arahan Majlis Keselamatan Negara (MKN), perkara itu juga akan membawa risiko penularan pandemik Covid-19 ke perkampungan masyarakat Orang Asli.

“Justeru itu, JAKOA memohon agar semua pihak dapat akur dengan arahan ini lebih-lebih lagi ketika negara sedang mencatatkan rekod penularan pandemik Covid-19 yang tinggi.

“Pada kesempatan ini, JAKOA ingin mengucapkan terima kasih kepada pihak yang perihatin dengan masyarakat Orang Asli. Bagaimanapun, keselamatan sentiasa menjadi perkara utama yang perlu dititikberatkan,” jelasnya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI