PUL-E-ALAM, AFGHANISTAN – Seramai 30 orang terbunuh dan 90 lagi cedera dalam satu kejadian letupan bom yang diletakkan di sebuah kereta, berhampiran dengan sebuah rumah tumpangan, lapor laman berita BBC hari ini.
Tiada kumpulan mengaku bertanggungjawab dalam serangan yang berlaku pada bulan Ramadan itu setakat ini.
Dalam kejadian pada pukul 7 petang (waktu tempatan) itu, beberapa buah bangunan rosak termasuk sebuah rumah tumpangan awam dan sebuah hospital.
“Antara yang terkorban ialah pelajar-pelajar sekolah tinggi yang sedang bersiap-sedia untuk menduduki peperiksaan kemasukan universiti,” ujar Ketua Majlis Wilayah Logar, Hasibullah Stanekzai.
Sementara itu, seorang jurucakap Kementerian Dalam Negeri, Tariq Arian berkata, letupan bom merebak ke kawasan sekitar dengan meluas, termasuk ke sebuah hospital dan rumah kediaman.
“Bumbung rumah jatuh dan orang awam terperangkap di bawah runtuhannya.
“Anggota keselamatan berusaha untuk menyelamatkan mangsa yang terperangkap,” katanya.
Sebuah wad di hospital berdekatan yang terlibat turut mengalami beberapa kerosakan susulan insiden itu.
Terdahulu, Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden pada awal bulan ini mengumumkan akan memanggil pulang kesemua anggota tenteranya di Afghanistan pada 11 September ini.
Pengumumannya itu telah menimbulkan kemarahan dalam kalangan tentera Taliban yang sebelum ini telah menandatangani perjanjian dengan bekas Presiden AS, Donald Trump.
Dalam perjanjian tersebut, Trump bersetuju bahawa kesemua anggota tentera AS akan meninggalkan Afghanistan pada 1 Mei jika Taliban patuh kepada perjanjian tersebut. – Agensi