ALOR SETAR – Kalangan peniaga bazar Ramadan dan Aidilfitri resah kerana kemungkinan terpaksa menutup perniagaan mereka susulan penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di lima daerah di negeri ini bermula hari ini.
Tinjauan di tapak bazar Ramadan dan Aidilfitri di sini hari ini mendapati kebanyakkan peniaga memaklumkan akan membuka gerai sehingga menerima arahan penutupan oleh Majlis Bandaraya Alor Setar.
Peniaga makanan, Ahmad Subhi Omar, 44, berkata, rata-rata peniaga belum menerima notis penutupan gerai.
“Kebanyakan peniaga ambil keputusan untuk terus berniaga sehingga diberi notis, walau bagaimanapun saya lihat ada juga peniaga yang tidak berani datang berniaga hari ini.
“Perniagaan hari ini dijangka terjejas kerana mungkin tiada pelanggan yang berani datang di daerah dikenakan PKP,” katanya ketika ditemui di tapak bazar Ramadan di sini hari ini.
Seorang peniaga bazar Aidilfitri, Farhani Hasbullah, 35, yang berniaga baju kurung dan tudung pula berkata, dia terpaksa menanggung kerugian lebih RM 50,000 jika diarah menutup gerai.
“Saya baru sahaja tambah bekalan baju lebih 50 pasang pada semalam kerana menerima permintaan daripada pelanggan,” ujarnya.
Selain itu, peniaga baju Melayu, Muhd. Fairuz Azlan, 37, juga terpaksa menanggung kerugian lebih RM 70,000 jika diarah tutup. – K! ONLINE