PETALING JAYA – Saluran berita televisyen berbayar Astro Awani memaklumkan akan memberikan kerjasama penuh kepada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) berhubung siasatan yang dilakukan berkait kontroversi melibatkan penyampainya baru-baru ini.
Ketua Pengarangnya, Ashwad Ismail berkata, kerjasama penuh akan diberikan bagi membantu siasatan berhubung kontroversi penyampaian berita Awani 745 mengenai isu kompaun RM50,000 terhadap dua peniaga kecil di Kelantan.
“Kami sentiasa berpendirian bahawa institusi kepolisan negara yang menjamin keharmonian dan kesejahteraan rakyat perlu sentiasa dihormati serta dipelihara setiap masa.
“Sebagai saluran berita utama dan hal ehwal semasa, Astro Awani terus komited bersama memperkukuhkan jalinan kerjasama yang sedia erat antara masyarakat dan PDRM melalui pemberitaan yabg beretika, seimbang dan berkualiti,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.
Terdahulu, Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani semalam berkata, kertas siasatan terhadap kes pembaca berita sebuah stesen televisyen yang mengeluarkan kenyataan berbaur fitnah telah dibuka oleh pihak PDRM.
“Siasatan dibuat mengikut Seksyen 504 Kanun Keseksaan iaitu dengan sengaja mengaibkan dengan niat hendak membangkitkan pecah keamanan, sehingga boleh dikenakan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.
“Selain itu, siasatan turut dijalankan mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian) yang boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya.
Jelas Acryl Sani, tindakan pembaca berita itu menimbulkan fitnah dan kebencian masyarakat terhadap pihak penguat kuasa, terutama pasukan PDRM yang bertindak berlandaskan peruntukan undang-undang sedia ada bagi tujuan mengekang pandemik Covid-19. – K! ONLINE