fbpx

Penerima bantuan JKM meningkat lebih 500,000

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Datuk Seri Rina Mohd. Harun pada Majlis Penyampaian Makanan Bakul Permai kepada penerima JKM dan Pelancaran Sukarelawan Masjid Tanah (Smart)

ALOR GAJAH – Jumlah permohonan bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dijangka terus meningkat susulan kemerosotan sumber kewangan dihadapi rakyat akibat pandemik Covid-19.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Mohd. Harun berkata, dalam tempoh suku pertama tahun ini, jumlah penerima bantuan JKM telah bertambah sebanyak 34,000 penama menjadikan jumlah terkini seramai 500,000 orang.

“Kita lihat akibat daripada pandemik Covid-19 permohonan-permohonan kepada JKM terus meningkat di mana setakat ini kita sudah mempunyai lebih 500,000 penerima bantuan sejak Januari lalu.

“Sebelum ini kita hanya mempunyai kira-kira 466,000 penerima JKM sahaja,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas merasmikan Majlis Penyampaian Makanan Bakul Permai kepada penerima JKM dan Pelancaran Sukarelawan Masjid Tanah (Smart) di Kolej Kemahiran Tinggi Melaka, Paya Lebar di sini, hari ini.

Turut hadir ialah, Timbalannya Datuk Siti Zailah Mohd. Yusoff dan Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan Dan Koperasi (MEDAC), Datuk Mas Ermieyati Samsudin.

Dalam perkembangan lain, Rina memberitahu, anak-anak yang tidak dapat pulang ke kampung halaman untuk menguruskan permohonan vaksin ibu bapa masing-masing diminta untuk mendapatkan bantuan daripada Khidmat Bantuan Di rumah (home help service).

“Kini sekurang-kurangnya seramai 10,000 penerima vaksin daripada golongan warga emas telah menerima suntikan pertama pada fasa kedua Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK).

“Kita mengambil maklum kesulitan yang dihadapi oleh anak-anak yang tidak dapat merentas negeri melihat keadaan ibu bapa yang telah berusia dan menguruskan permohonan vaksin mereka.

“Namun sekiranya ada yang memerlukan bantuan untuk pengurusan vaksin ini boleh berhubung dengan sukarelawan Khidmat Bantu Di rumah, mereka akan datang rumah ke rumah untuk memberikan pertolongan pendaftaran dan sebagainya,” katanya.

Sementara itu Mas Ermieyati menjelaskan penubuhan sukarelawan Smart di Masjid Tanah diharap akan menjadi mata dan telinga JKM dalam memastikan kebajikan masyarakat setempat terbela.

“Setakat ini kita ada 50 sukaralewan yang terdiri daripada pelbagai latar belakang dan pengalaman.

“Mereka ini sangat dekat dengan penduduk setempat dan untuk itu, kita harap pelbagai maklumat disalur dan dikutip termasuk pendaftaran vaksin Covid-19,” katanya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI