fbpx

Kejutan mewah Azad, Eira dihantui curiga

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
EIRA SYAZIRA dan suaminya Azad akan beraya di rumah baharu tahun ini.

PETALING JAYA – Terharu sehingga menitiskan air mata, pelakon Eira Syazira mendedahkan projek pengubahsuaian rumah baharu yang dilakukan Azad Jasmin secara rahsia pernah menimbulkan kecurigaan hatinya terhadap kejujuran suami.

Pemilik nama sebenar Syazira Shuhaimi itu tidak menyangka kesibukan luar biasa Azad sejak beberapa bulan kebelakangan ini adalah semata-mata demi memastikan misi menghias kediaman baharu yang dibeli mereka tidak dapat dihidunya.

“Sebenarnya kami sudah beli rumah berkenaan sejak dua tahun lalu tetapi disebabkan pandemik Covid-19, segala perancangan asal tergendala sedangkan saya menaruh harapan berpeluang pindah sebelum hari raya.

“Setiap kali saya ajak Azad buat dekorasi sikit-sikit, ada saja alasan dia sampai saya tak mahu fikir lagi. Kami sekarang tinggal di kondominum, anak pula makin besar dan perlukan ruang lebih luas.

“Sedih apabila dia asyik tangguh malah saya perasaan Azad selalu keluar seorang dan kalau bercakap di telefon dia berdiri jauh padahal selalu ke mana-mana mesti dia ajak saya. Begitu juga dengan telefon, siap tukar kata laluan.

“Tentu timbul syak wasangka tengok dia berubah. Memang sepanjang tempoh lima bulan itu saya kerap merajuk dan cuba cari gaduh. Rupa-rupanya ini misi yang dia buat. Sudah pasti saya terharu,” luahnya kepada K! Online.

Malam tadi, Azad, membuat kejutan besar-besaran kepada isterinya itu dengan membawa pelakon terbabit ke kediaman yang sudah sedia dihias indah berkonsepkan ‘Modern Luxury’ seperti dihajati.

Menerusi video berdurasi selama 40 minit yang disiarkan menerusi Instagram, pelakon Kongsi itu membawa isterinya melakukan sesi lawatan ke dalam rumah dan menunjukkan setiap kejutan yang dibuat untuk isterinya.

Eira, yang turut menempa nama di Indonesia itu tampak tergamam sebaik melihat hiasan dalaman mahligai mereka yang lengkap dengan sebuah surau kecil.

Menurut Eira lagi, jika tiada aral mereka bakal meraikan sambutan Aidilfitri di kediaman semi D, lot tepi yang dilengkapi lima bilik dan menghadap tasik itu.

“ Setakat ini saya masih rasa macam mimpi. Barang di rumah sedia ada sekarang pun belum berkemas. Azad cakap kami bawa badan dan barang perlu saja dahulu. Insya-Allah tahun ini beraya di situ,” tambahnya lagi.

Eira, 36, dan Azad, 45, yang mendirikan rumah tangga pada 16 September 2011 dikurniakan tiga cahaya mata perempuan Amarra Sofea Rose, 8, Ameisya Leanne Rose, 5 dan Areisya Suri Rose, 3. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI