fbpx

SOP PKP dijangka ada sedikit kelonggaran

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

ALOR SETAR – Beberapa kelonggaran dalam prosedur operasi standard (SOP) dijangka diberikan pada Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dikuatkuasakan di lima daerah di negeri ini bermula esok.

Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md. Nor berkata, beliau percaya penguatkuasaan SOP kali ini berbeza berbanding PKP 1.0 iaitu pada Mac hingga hujung tahun lalu.

Katanya, SOP PKP di daerah Kota Setar, Kuala Muda, Kulim, Bandar Baharu dan Baling dekat sini itu akan dikeluarkan segera oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN).

“Saya memahami kesukaran yang dihadapi oleh orang ramai terutama berkaitan ekonomi peniaga dan penjaja.

“Walau bagaimanapun, langkah ini amat perlu demi kepentingan keselamatan dan kesihatan orang ramai,” katanya dalam satu kenyataan menerusi Facebook rasminya di sini hari ini.

Kata beliau, peniaga makanan diharap dapat memanfaatkan perniagaan secara dalam talian selain secara tunai semasa hantar (COD).

“Reaksi akibat kesukaran yang dialami daripada langkah ini tentulah bersifat negatif berbanding kesan positif yang tidak dapat dirasai.

“Ini kerana nikmat kesihatan serta keselamatan hanya berharga apabila kesakitan bertandang dan bencana menimpa,” ujarnya.

Muhammad Sanusi pada masa sama memaklumkan semua majlis berbuka puasa Pejabat Menteri Besar yang belum berlangsung dibatalkan.

“Sumbangan kepada fakir miskin, anak yatim, ibu tunggal terpilih di samping kepada guru Al-Quran, bidan, pemandi jenazah dan lain-lain akan dilaksanakan secara hantaran ke rumah,” tambahnya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI