MARAN – Kerisauan seorang ibu selepas doktor tidak dapat mengesan tulang pinggul anak dalam kandungannya akhirnya terjawab apabila anak keduanya itu disahkan menderita penyakit sindrom tiada tulang punggung.
Penyakit sacral agenesis atau caudal regression syndrome itu merupakan gangguan kongenital yang jarang berlaku dengan anggaran 1 hingga 2.5 kes bagi 100,000 bayi yang dilahirkan.
Keadaan itu disebut sacral agenesis kerana sakrum tulang berbentuk segitiga yang menghubungkan tulang belakang ke pelvis hanya sebahagiannya berkembang atau tidak berkembang sama sekali.
Che Mastura Che Abdullah, 31, berkata, keadaan itu menyebabkan kaki bayinya, Abdullah Haufan Hazza Hanafi yang berusia dua bulan tidak dapat ditegakkan yang berkemungkinan boleh menyebabkan tidak mampu berjalan.
“Setiap ibu bapa mengharapkan anak masing-masing sihat. Doktor ada menyatakan kemungkinan dia tidak boleh berjalan.
“Mula-mula saya berasa tertekan sehingga tidak makan selama tiga hari, namun selepas itu saya reda selepas mendengar nasihat daripada emak,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Jengka 14, di sini semalam.
Menurutnya, Abdullah Haufan yang merupakan anak kedua dilahirkan secara pembedahan ketika kandungan berusia lapan bulan dan dirawat di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah, Temerloh.
Ketika ini, bayinya masih dirawat dan turut mengalami masalah berkaitan buah pinggang membengkak yang berkemungkinan terpaksa dipasang saluran tiub pada saluran kencing.
Jelasnya, suaminya bekerja kampung dan tiada pendapatan tetap selain terpaksa berjimat untuk membayar sewa rumah RM250 sebulan serta belanja persekolahan anak sulungnya yang berusia tujuh tahun.
Orang ramai yang ingin membantu boleh menyalurkan bantuan ke akaun Affin Bank atas nama Hanafi Osman 2051-3091-1288 atau menghubungi Che Mastura di talian 011-35241172. -K! ONLINE