Skuad FIFA Pro Clubs negara cipta kejutan muncul juara VPG Piala Asia
PENGURUS skuad Malaysia, Amirul Ashraf Hassan Nordin menyifatkan taraf pemain-pemain negara sudah mampu mencabar kuasa-kuasa besar dunia dalam permainan video FIFA Pro Clubs selepas berjaya menjuarai Virtual Pro Gaming (VPG) Piala Asia 2020.
Kejayaan Malaysia menjuarai VPG Piala Asia 2020 dengan menewaskan Emiriyah Arab Bersatu (UAE) 2-0 secara agregat malam kelmarin menyaksikan skuad FIFA Pro Clubs negara layak automatik ke VPG Piala Dunia 2021.
Justeru, Amirul yang turut berperanan sebagai pemain dengan nama Ryvox5215 percaya Malaysia mampu mara sekurang-kurangnya sebagai lapan pasukan terbaik pada Piala Dunia 2021, Januari tahun depan.
“Arab Saudi adalah pasukan yang boleh menjadi juara dunia tetapi kita berjaya kalahkan mereka di peringkat separuh akhir. Kurdistan pula adalah juara Piala Dunia 2020 tetapi mereka tewas kepada UAE.
“Negara-negara yang kita menang pada Piala Asia adalah pasukan-pasukan hebat di dunia untuk permainan FIFA. Ia membuktikan pemain kita sebenarnya sudah mampu mencapai tahap mereka dan berpeluang mencabar pada Piala Dunia nanti.
“Saya percaya negara-negara lain tidak akan memandang rendah Malaysia pada Piala Dunia nanti. Sasaran saya sekurang-kurangnya kami muncul sebagai lapan pasukan terbaik di dunia,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.
Malaysia berjaya mencatatkan kemenangan 2-0 ke atas UAE sewaktu final pertama menerusi dua gol daripada Muhammad Imran Burhanudeen (Imran Deen) dan Muhammad Zaqwan Saidan (zqwan) sebelum seri tanpa jaringan pada final kedua.
Skuad negara mara ke final selepas mengungguli saingan Kumpulan 3 yang turut dibarisi Oman, Bangladesh dan Myanmar sebelum menewaskan Brunei serta Arab Saudi di peringkat kalah mati dalam kejohanan yang diadakan secara online itu.
FIFA Pro Clubs adalah permainan video FIFA membabitkan 11 individu yang mengawal pemain di posisi pilihan masing-masing sama seperti bola sepak sebenar tetapi bezanya dimainkan secara online. – K! ONLINE