LIVERPOOL – Pemain pertahanan Everton, Lucas Digne menggesa pasukan itu mengubah nasib di laman sendiri menjelang aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) menentang Aston Villa di Goodison Park awal pagi esok.
Sebagai rekod, The Toffees memiliki rekod yang kurang baik di laman sendiri musim ini apabila sekadar mencatat lima kemenangan dalam 16 perlawanan.
Justeru, Digne berharap mereka dapat menghapuskan badi tersebut ketika melayan kunjungan Villa, sekali gus terus menghidupkan peluang untuk beraksi di pentas Eropah musim depan.
“Saya fikir aksi menentang Tottenham Hotspur dua minggu lalu adalah aksi terbaik pernah kami tampilkan di laman sendiri musim ini. Ketika itu, kami cuba menampilkan aksi sama dengan pasukan lawan.
“Aksi kami lebih baik jika bermain di tempat lawan dan ia mungkin disebabkan kurang tekanan. Saya mahu rakan sepasukan tampilkan aksi terbaik kerana kami mampu untuk tewaskan Villa,” kata pemain Perancis itu.
Tambah Digne, Everton memiliki kelebihan dari segi serangan balas selain mampu untuk menguasai permainan berdasarkan barisan pemain yang mereka miliki.
“Secara jujur, kami ada kualiti terutamanya dari segi serangan balas. Saya harap kami boleh tunjukkan kemampuan sebenar pada perlawanan itu nanti,” ujarnya. – AGENSI