AMPANG JAYA – Hanya kerana enggan berbuka bersama bapa mentuanya di luar, seorang wanita dipukul malah diacukan dengan pisau oleh suaminya sendiri dalam satu kejadian di sebuah rumah di Jalan Pandan Ria 1, di sini Selasa lalu.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, kejadian berlaku kira-kira pukul 9.30 malam sewaktu sepasang suami isteri sedang berbincang untuk berbuka puasa bersama bapa si suami di luar.
“Bagaimanapun telah berlaku perselisihan faham apabila si isteri enggan berbuka bersama bapa mentuanya mengakibatkan suspek berang dan bertindak mengambil sebilah pisau di dapur untuk mengugut isterinya itu.
“Wanita berkenaan berjaya melarikan diri dari rumah namun apabila dia pulang ke rumah kira-kira pukul 12.20 malam, suspek yang masih tidak berpuas hati telah memukul isterinya itu di bahagian badan dan mengacukan pisau di pinggang mangsa,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.
Menurut Mohamad Farouk, tindakan lelaki itu telah dihalang oleh adiknya yang turut berada di rumah berkenaan dan susulan kejadian itu, satu laporan polis telah dibuat oleh mangsa.
“Pihak polis kini sedang giat menjejaki suspek yang telah melarikan diri dan kes disiasat di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan.
“Jika disabitkan kesalahan, suspek boleh dihukum penjara dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali dan jika ugutan itu adalah hendak menyebabkan kematian atau cedera parah, dia boleh dihukum penjara tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali,” tegas beliau. – K! ONLINE