SEJAK Isnin lalu, topik hangat di media sosial sudah tentu mengenai isu kompaun RM50,000.
Sehingga semalam, empat kompaun setiap satu bernilai RM50,000 dikeluarkan kepada tiga peniaga dan seorang pengurus sebuah cafe di Kota Bharu.
Pada asalnya, perkara itu diketahui umum selepas seorang peniaga burger, Wan Mohd. Faisal Wan Kadir, 37, memuat naik satu hantaran di Facebook yang mengatakan bahawa dia dikompaun RM50,000 ketika sedang menyiapkan tempahan pelanggan di rumahnya di Kampung Rambutan Rendang, Pengkalan Chepa, malam Ahad lalu.
Kompaun mengikut Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 itu dikeluarkan selepas mendapati lelaki itu gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) kerana berniaga melebihi pukul 10 malam ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Ketika sedang kecoh dengan kompaun yang diterima Wan Mohd. Faisal, rupanya terdapat dua lagi peniaga di sekitar Pengkalan Chepa turut dikompaun atas kesalahan jumlah sama pada malam tersebut.
Perkara itu diketahui pihak media apabila Ketua Polis Kelantan, Datuk Shafien Mamat mendedahkannya.
Berdasarkan rekod, kes terawal melibatkan kompaun RM50,000 di Kota Bharu sebenarnya dikeluarkan oleh polis Kelantan pada 21 April lalu apabila seorang pengurus sebuah cafe dikompaun dengan jumlah itu.
Premis itu didapati gagal mengawal kemasukan pelanggan, tiada imbasan suhu dan tiada imbasan kod aplikasi MySejahtera.
Melihat kepada situasi keempat-empat kompaun itu, perkara asas yang dapat dilihat adalah kurangnya pematuhan SOP dalam kalangan peniaga di Kota Bharu ketika pelaksanaan PKP.
Perkara itu disahkan oleh Shafien baru-baru ini. Beliau memaklumkan polis menerima aduan dan rungutan daripada masyarakat bahawa masih terdapat premis perniagaan yang tidak mematuhi SOP dan beroperasi melebihi masa ditetapkan.
Menurutnya, sebanyak 127 kompaun dikeluarkan atas kesalahan tidak mematuhi SOP di seluruh Kelantan sejak 16 April.
Menyentuh mengenai perkara itu, Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Abdul Rahim Daud menegaskan, polis tidak akan sesuka hati mengeluarkan kompaun dan ia akan dikeluarkan sekiranya terdapat kesalahan yang melanggar SOP PKP.
Ujarnya, peniaga burger itu sudah dikompaun sebelum ini, namun masih melakukan kesalahan sama sehingga memaksa polis mengeluarkan lagi kompaun.
“Sebelum mengeluarkan sebarang kompaun, polis akan menjalankan siasatan lanjut terhadap sesuatu kes. Kita menerima aduan daripada penduduk kampung bahawa peniaga itu sering berniaga melebihi masa.
“Selain itu, berdasarkan aduan dan siasatan, terdapat pelanggan duduk dan makan di situ sebelum ini. Cuma, ketika serbuan polis pada malam itu tiada pelanggan di situ,” katanya ketika dihubungi Kosmo! baru-baru ini.
Menurut Abdul Rahim, kompaun yang dikenakan itu pula bukan bersifat menghukum, tetapi mahu memberi pengajaran kepada masyarakat mengenai kepentingan pematuhan SOP.
Setakat ini, pihak berkuasa sudah membuka ruang untuk tiga peniaga dan seorang pengurus cafe itu untuk membuat rayuan pengurangan kompaun.
Penulis sendiri berharap, jumlah kompaun yang akan diputuskan tidak membebankan mereka yang sebenarnya amat terkesan dalam perniagaan masing-masing sewaktu pelaksanaan PKP di Kelantan ketika ini. -K! ONLINE