fbpx

Tinggalkan surat untuk polis sebelum ditemui mati

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Pasukan forensik mengeluarkan mayat mangsa yang dipercayai telah meninggal dunia kira-kira 48 jam.

ALOR GAJAH – Seorang wanita sempat menulis dan meninggalkan sepucuk surat di papan pemuka keretanya untuk pihak polis sebelum mayatnya ditemui di dalam kenderaan itu di sebuah kebun sawit di Jalan Kolam, Machap Baru, hari ini.

Mayat wanita berusia 43 tahun itu bagaimanapun ditemui orang awam di dalam kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Avanza tersebut kira-kira pukul 10 pagi sebelum kejadian dimaklumkan kepada pihak polis.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah Superintendan Arshad Abu berkata, hasil pemeriksaan pada tubuh si mati, wanita itu dipercayai telah meninggal dunia kira-kira 48 jam berdasarkan keadaan fizikal yang telah membengkak.

Katanya, pemeriksaan lanjut pasukan forensik turut menjumpai sepucuk surat di papan pemuka kenderaan yang mengandungi mesej meminta pihak polis menghubungi seorang individu wanita untuk pengurusan pengebumian mayatnya.

“Surat tersebut dipercayai ditulis dan ditinggalkan mangsa sebelum dia maut dengan menyatakan “To : Police Man Tolong Hubungi Miss Peggy Chek dan dia akan pergi ke rumah saya untuk membawa anak perempuan saya untuk urusan kematian saya”.

“Pemeriksaan kad pengenalan juga mendapati si mati merupakan orang hilang yang dilaporkan pada 28 April lalu,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Tambahnya, pemeriksaan lanjut pada tubuh badan mangsa tidak menjumpai apa-apa kesan berunsurkan jenayah.

“Mangsa telah meletakkan kenderaannya kira-kira 800 meter dari jalan besar ke tempat kejadian.

“Pasukan forensik juga menjumpai satu balang yang mengandungi abu arang disyaki dibakar oleh si mati di tempat duduk hadapan penumpang, selain makanan dan minuman arak yang disyaki diminum mangsa sebelum mati,” katanya.

Katanya, mayat mangsa telah dihantar ke Jabatan Perubatan Forensik Hospital Alor Gajah untuk proses bedah siasat dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI