PUTRAJAYA – Setakat 15 April lalu, sebanyak 904 kes positif Covid-19 dilaporkan mempunyai sejarah kunjungan atau dijangkiti oleh individu yang pernah mengunjungi ke 22 bazar Ramadan yang diarah tutup oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT).
KPKT berkata, operasi bazar Ramadan terlibat akan ditutup selama tiga hari bagi tujuan sanitasi dan memperkemaskan semula prosedur operasi standard (SOP) di bazar terbabit.
“Semua pihak berkuasa negeri (PBN) dan pihak berkuasa tempatan (PBT) disarankan untuk mengetatkan penguatkuasaan pematuhan SOP di bazar Ramadan bagi mengekang penularan wabak Covid-19.
“Peniaga dan pengunjung juga dinasihatkan agar sentiasa mematuhi SOP yang telah ditetapkan bagi mengelakkan peningkatan kes Covid-19,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Terdahulu, KPKT telah mengarahkan sejumlah 22 bazar Ramadan di bawah kendalian PBT di enam negeri dan satu wilayah persekutuan ditutup mulai esok.
Angka itu daripada keseluruhan 1,073 bazar Ramadab yang beroperasi di seluruh negara buat masa ini.
Penutupan bazar tersebut diputuskan dalam sidang khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) 28 April lalu.
Menurut KPKT, laporan data terkumpul menunjukkan bazar-bazar itu telah dikenal pasti sebagai kawasan berisiko tinggi yang boleh menjadi punca kepada penyebaran jangkitan Covid-19.
Katanya, data itu berdasarkan laporan sistem Hotspot Identification by Dynamic Engagement (HIDE) yang telah dibangunkan bersama oleh Bank Negara dan Kementerian Kesihatan.
“Sistem HIDE bertujuan untuk memberi amaran awal dalam mencegah ledakan jangkitan Covid-19 dengan menggunakan data daripada aplikasi MySejahtera.
“Laporan HIDE telah menunjukkan bahawa angka kontak rapat yang tinggi di kalangan pengunjung dan peniaga di bazar Ramadan yang terlibat,” katanya. – K! ONLINE