KLANG – Angin kencang disusuli hujan lebat mengakibatkan lapan penjaja di hadapan Masjid Asy-Syarif, Meru di sini terpaksa menanggung kerugian apabila barang jualan dan khemah rosak.
Malah, berdasarkan sebuah video berdurasi 33 saat memaparkan sebuah khemah peniaga diterbangkan angin setinggi kira-kira 50 meter luar masjid tersebut.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meru, Mohd. Fakhrulrazi Mohd. Mokhtar berkata, beliau dimaklumkan kejadian berlaku selepas azan Asar dengan angin kencang sebelum hujan turun dengan lebat.
“Saya sedang dalam perjalanan untuk melihat sendiri kejadian yang berlaku selain memberi sokongan moral terhadap kesemua peniaga yang terjejas akibat kejadian ini.
“Saya juga telah meminta pegawai saya kumpul maklumat peniaga terbabit untuk diberikan bantuan segera agar meringankan beban yang mereka hadapi,” katanya ketika dihubungi Kosmo! hari ini.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner Nurulhuda Mohd. Salleh ketika dihubungi mengesahkan kejadian namun belum menerima laporan daripada peniaga terbabit.
“Setakat ini, lapan gerai dijangka terlibat namun tiada kecederaan dilaporkan berlaku.
“Kami juga belum menerima sebarang laporan daripada penjaja terbabit,” jelasnya. – K!ONLINE