MELAKA – Polis dan Tenaga Nasional Berhad (TNB) negeri bertindak memotong bekalan elektrik lima premis yang masih berdegil menjual loteri awam dan kad nilai tambah perjudian haram di sini, semalam.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Afzanizar Ahmad berkata, operasi pemotongan bekalan elektrik itu dilakukan bermula pukul 10 pagi sehingga 4 petang di kawasan Batang Tiga, Batu Berendam, Banda Hilir dan Ayer Keroh.
Katanya, tindakan itu dilaksanakan mengikut Seksyen 21A Akta Rumah Judi Terbuka 1953 yang bertujuan mengekang kegiatan perjudian haram termasuk memutuskan bekalan elektrik di premis terbabit supaya ia tidak terus beroperasi semula.
“Siasatan mendapati premis-premis itu menjalankan perjudian loteri awam tanpa lesen dan tambah nilai untuk berjudi.
“Jadi, pihak polis dengan kerjasama TNB telah mengambil tindakan mengekang aktiviti tersebut dengan memotong bekalan elektrik di kelima-lima premis terbabit,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
Mengulas lanjut beliau berkata, kesemua premis itu sebelum ini telah diberikan amaran dan tindakan mengikut Seksyen 4B (A) Akta Rumah Judi Terbuka 1953.
“Mereka telah dikenakan tindakan dan diberikan amaran untuk tidak menyalahgunakan lesen perniagaan bagi menjalankan kegiatan haram terbabit, namun tetap berdegil.
“Jadi, tindakan memotong bekalan elektrik ini adalah penyelesaian terbaik untuk menghentikan pengoperasian mereka,” katanya.
Afzanizar berkata, sejak Januari sehingga semalam, sebanyak 35 premis yang terlibat dengan aktiviti perjudian telah dikenakan tindakan pemotongan bekalan elektrik. – K! ONLINE