fbpx

Peniaga kecewa arahan tutup bazar Ramadan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Bazar Ramadan Bukit Gedung, Bayan Baru antara enam bazar yang diarah tutup operasi selepas dikenal pasti sebagai kawasan berisiko tinggi penularan wabak Covid-19.

GEORGE TOWN – Kira-kira 28 peniaga Bazar Ramadan Bukit Gedung, Bayan Baru di sini terpaksa menanggung kerugian apabila mereka diarah tutup operasi mulai esok berikutan lokasi berkenaan telah dikenal pasti sebagai kawasan berisiko tinggi penularan wabak Covid-19.

Bazar Ramadan terbabit antara tujuh lokasi yang terlibat dengan arahan penutupan di kawasan pihak berkuasa tempatan oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan berkuatkuasa 1 Mei.

Antaranya adalah di Bazar Ramadan Kampung Melayu, Taman Tun Sardon, Masjid Daerah Barat Daya dan tiga lagi di Seberang Perai.

Rata-rata peniaga yang ditemui Kosmo! meluahkan rasa sedih dan kecewa selepas dimaklumkan mengenai penutupan operasi tersebut tengah hari tadi, yang hanya berbaki lagi dua minggu umat Islam meraikan Hari Raya Aidilfitri.

Seorang peniaga minuman air balang, Mohd. Iswan Nordin, 33, berkata, dia mengalami kerugian mencecah RM1,500 disebabkan telah membeli stok pati minuman untuk kegunaan selama sebulan.

“Ini adalah bisnes tambahan untuk saya bersama empat pekerja lain menambah pendapatan menjelang perayaan Aidilfitri.

“Hasil pendapatan yang diperoleh, membantu meringankan beban kami untuk mengumpul duit sebagai persiapan menjelang Hari Raya Aidilfitri yang bakal tiba kurang lagi dua minggu,” katanya kepada Kosmo!.

Sementara itu, seorang lagi peniaga makanan, Siti Zauyah Ali, 56 pula memberitahu, dia buntu memikirkan perkara tersebut termasuk mengenang nasib yang bakal dihadapi mereka selepas ini.

“Kami tidak sangka menerima arahan penutupan bazar Ramadan di saat berbaki lagi dua minggu untuk meraikan Aidilfitri. Baru hendak kumpul duit sudah kena tutup.

“Kami hanya mengharapkan pendapatan bersih daripada hasil keuntungan perniagaan ini pada setiap bulan Ramadan. Saya juga antara individu yang terjejas teruk akibat pandemik Covid-19.

“Perniagaan yang diusahakan saya di astaka berhampiran sejak 20 tahun lalu turut terkesan. Saya kini hanya mengharapkan perniagaan di bazar Ramadan ini bagi menampung pendapatan yang terjejas serta kelangsungan hidup,” jelasnya.

Dakwanya, dia juga berdepan kerugian sehingga RM500 apabila stok barangan kering dan basah sudah dibeli serta ditempah selama sebulan sejak awal Ramadan lalu.

Dalam pada itu, Pengerusi Jawatankuasa pasar ramadan Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Ahmad Azrizal Tahir ketika dihubungi Kosmo! berkata, pihak masih dalam peringkat perbincangan dengan pihak atasan berhubung tarikh penguatkuasaan penutupan di bazar Ramadan di daerah ini. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI