BERTITIK tolak daripada kesukaran membersihkan kotoran terlekat pada baju sekolah anak-anak mendorong seorang ibu memformulasi satu produk bagi menyelesaikan masalah tersebut.
Puas menggunakan pelbagai jenama sabun basuhan selama bertahun-tahun lamanya, namun kemelut dan masalah yang sering menghantui kalangan suri rumah itu tetap tidak beransur pulih.
“Saya ada lima orang anak, tiga daripadanya lelaki dan dua perempuan dan tiga antaranya bersekolah.
“Bayangkan bagaimana tiga orang anak lelaki yang sangat aktif balik dengan baju sekolah agama dan sekolah kebangsaan yang begitu kotor dan kusam.
“Puas guna macam macam sabun, rendam, dah sental sekuat hati hingga sakit tangan tapi hasilnya tetap tidak memuaskan hati. Sakit hati dan asyik nak marah sahaja bila waktu basuh baju,” ujar Noor Bahiyah Mohamed Nordin ketika membuka bicara bersama Aura.
Bermula daripada situ lantas menyebabkan suami mencari formula sabun untuk memudahkan isterinya mencuci tanpa perlu bersusah payah.
Ujar ibu berusia 40 tahun itu, selepas melalui beberapa kali proses percubaan dan formulasi, barulah terhasilnya pembersih berjenama Mamashark ini.
“Kami bermula secara kecil-kecilan dari rumah dengan botol kecil selama setahun dan kemudian ubah kepada formula yang jauh lebih bagus daripada sebelum ini dengan botol yang besar yang beri lebih manfaat kepada pelanggan.
“Misi dan visi kami nak bantu orang di luar sana terutamanya golongan ibu dalam kerja-kerja pembersihan dengan cepat dan mudah tanpa wujud rasa tertekan,” katanya.
Bercakap mengenai keunikan dan keistimewaan Mamashark, ia sangat mudah digunakan tanpa merosakkan tangan dan pada masa sama boleh digunakan untuk mencuci pelbagai barang di rumah.
Ditanya mengenai cabaran dalam membangun dan mengekalkan perniagaan, Noor Bahiyah memberitahu, dalam arena perniagaan, apa sahaja jenis produk pasti ada pesaing tidak terkecuali juga dengan Mamashark.
“Kami yakin Mamashark akan sentiasa relevan hingga ke hari ini disebabkan ia bersifat pelbagai guna dari pakaian sekolah hinggalah ke barangan rumah,” katanya.
Mengenai perancangan syarikat, Noor Bahiyah berkata, syarikat berazam untuk meluaskan lagi pasaran hingga setiap rumah di Malaysia menggunakan pembersih jenama Mamashark bagi tujuan membersihkan kotoran.
“Kami berhasrat untuk memiliki sebuah kilang sendiri supaya boleh menampung permintaan yang semakin meningkat dari hari ke hari.
“Di samping itu sudah pasti akan dapat beri lebih peluang pekerjaan kepada mereka yang kehilangan pekerjaan kelak,” katanya menutup bicara. – K! ONLINE