SEREMBAN – Walaupun sambutan Aidilfitri kali ini masih dibayangi dengan penularan Covid-19 dan penguatkuasaan rentas negeri, namun seorang pengusaha songkok di daerah ini masih mampu menerima kira-kira 1,000 tempahan dari seluruh negara.
Roslan Salbaini, 60, berkata, dia mula berniaga sejak 45 tahun dahulu mewarisi legasi pembuatan songkok oleh arwah bapanya, Sarbaini Jamil yang mengusahakan pembuatan songkok secara tradisional sejak tahun 1936.
“Ketika itu, saya berusia 15 tahun dan sudah mengetahui cara membuat songkok warisan ini yang saya pelajari dengan arwah ayah saya di kedainya di Jalan Yam Tuan, Seremban. Di situ aya bermula belajar membuat pola dan membantu dia memotong kain sehingga boleh menjahit songkok jenis baldu benang.
“Alhamdullilah pada kali ini, sambutan yang agak memberangsangkan sehingga saya tidak cukup tidur. Saya menerima sebanyak 1,000 songkok menjelang hari lebaran kali ini,” katanya ketika ditemui pemberita di kios Songkok Warisan Keluarga Sarbaini Jamil di sebuah pasar raya di Nilai dekat sini semalam.
Menurut Roslan lagi, dia menjual pelbagai jenis songkok baldu, songkok lipat, songkok kerawang emas, songkok batik, dan tarbus sempena Aidilfitri.
“Kebanyakan pelanggan adalah pelanggan tetap dari seluruh Malaysia. Jika sebelum ini, saya berniaga di hari kraftangan dan ekspo hari raya namun, kali ini saya hanya membuka kios di sini bagi membolehkan pelanggan membeli songkok.
“Songkok biasa, songkok lipat dan kerawang emas memang menjadi kebiasaan pilihan pelanggan namun ada juga pelanggan yang mencari tarbus untuk perayaan kali ini.” katanya.
Tambahnya, pada tahun lalu, dia hanya mampu menjual 100 songkok sahaja itupun melalui dalam talian kerana ketika itu masih lagi dalam Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
“Jika boleh merentas negeri memang ramai pelanggan tetap saya akan datang untuk membeli, kali ini mereka telah membuat tempahan awal daripada saya. Menurut mereka, pembuatan songkok saya lebih kemas, jahitan yang rapat dan tidak mudah tertanggal apabila dipakai berulang kali.
“Jika diikutkan songkok lipat dan songkok kanak-kanak paling laris sempena perayaan kali ini. Saya juga tidak menang tangan dan perlu membuat sebanyak 20 songkok sehari untuk menyiapkan tempahan sempena hari raya,” katanya. – K! ONLINE