PASIR PUTEH – Taktik anggota dan pegawai Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Kelantan yang menyamar sebagai nelayan dan pencari ketam berhasil apabila berjaya mematahkan cubaan menyeludup sebanyak 1.8 juta batang rokok di Pantai Senok di sini kelmarin.
Dalam serbuan pada pukul 11.10 malam itu, anggota Maritim Maritim Malaysia yang terlibat dalam Op Khas itu mengesan sebuah bot pancung di naiki dua lelaki berada di lokasi tersebut dalam keadaan mencurigakan.
Pengarah Maritim Malaysia Kelantan, Kepten Maritim Muhd. Nur Syam Asmawie Yaacob berkata, bot itu didapati bergerak ke arah Pantai Pengkalan Datu di sini sebelum kelihatan enam buah kenderaan pelbagai guna (MPV) tanpa pemandu sedang menunggu di kawasan tebing.
Katanya, anggota Maritim Malaysia telah menyerbu kawasan tebing paya bakau di pantai itu sebelum mendapati berlaku aktiviti penyeludupan rokok menggunakan bot dan MPV.
“Bagaimanapun, semua suspek yang terlibat sempat melarikan diri kawasan gelap di sekitar hutan bakau ketika sebuan dijalankan sehingga gagal mengesan mereka.
“Pemeriksaan di dalam sebuah bot dan enam buah MPV itu telah membawa kepada penemuan sebanyak lebih satu juta batang rokok paket hijau dan 834,240 batang rokok paket hitam bernilai RM1.6 juta termasuk cukai,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Maritim Malaysia Kelantan di sini hari ini.
Menurut Muhd. Nur Syam Asmawie, siasatan awal mendapati sebahagian penyeludup yang terlibat disyaki penagih dadah berikutan penemuan satu paket kecil dadah jenis syabu dan beberapa peralatan menghisap dadah itu di dalam MPV yang ditinggalkan.
Katanya, kejayaan rampasan itu adalah hasil risikan pegawai dan anggota Maritim Malaysia selama enam bulan untuk mengesan sindiket penyeludupan rokok menggunakan jalan laut di sekitar Pantai Senok dan Pengkalan Datu di sini.
“Siasatan awal mendapati rokok itu akan dipasarkan ke kawasan ladang dan tanah rancangan di Gua Musang, Kuala Krai dan sebahagian kawasan Felda di Pahang.
“Kita akan bekerjasama dengan pihak Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) untuk mengenal pasti pemilik enam buah MPV yang ditinggalkan di kawasan itu untuk kegunaan mengangkut rokok-rokok seludup itu,” katanya.
Tambahnya, kes disiasat mengikut Seksyen 135 (1)(d) Akta Kastam 1967 dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952. – K! ONLINE