PETALING JAYA – Seorang anggota polis trafik membuat laporan polis semalam selepas gambarnya yang tidak memakai pelitup muka tular di media sosial, beberapa hari lalu.
Gambar berkenaan dirakam dipercayai oleh orang awam ketika anggota terbabit sedang bertugas mengawal lalu lintas, kelmarin.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Zulkefly Yahya berkata, ketika kejadian, anggota berkenaan sedang mengawal lalu lintas di Jalan Tuanku Abdul Rahman dan Lorong Tunku Abdul Rahman 7 iaitu di kawasan pasar malam bermula pukul 1 petang hingga 10 malam.
“Dia dikatakan baru selesai berbuka puasa bersama lima rakan sekerja lain di bawah sebuah khemah di persimpangan Jalan Tuanku Abdul Rahman/Jalan Esfahan berdekatan sebuah pusat membeli belah sekitar pukul 8 malam.
“Selesai berbuka puasa, anggota berkenaan menuju ke motosikal untuk meneruskan tugasannya dan gambar terbabit disyaki diambil sebelum dia memakai semula pelitup muka serta topi keledar untuk meneruskan rondaan,” ujarnya dalam kenyataan hari ini.
Jelasnya, ekoran penularan gambarnya, anggota berkenaan membuat laporan polis kerana tindakan individu terbabit mengambil gambar dan memuat naik ke media sosial dilihat cubaan untuk menjatuhkan maruahnya dan juga Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Orang ramai yang mempunyai sebarang pertanyaan atau maklumat berhubung perkara itu boleh menghubungi Balai Polis Trafik Jalan Tun H.S Lee di talian 03-20719999 atau Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-21159999 atau mana- mana balai polis berhampiran. – K! ONLINE