Oleh KHAIRULMIZAN YAHYA
KUANTAN – Subjek yang membabitkan amali dan eksperimen perlu dilaksanakan melalui Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) secara bersemuka di sekolah kerana ia adalah proses terbaik untuk pelajar menguasai pembelajaran tersebut.
Seorang guru biologi, Faridah Sa’ad dari Sekolah Menengah Kebangsaan Abdul Rahman Talib (SMART) berkata, sains adalah sebahagian daripada kehidupan harian dan ia pastinya membabitkan ‘hands on’.
“Ketika pelaksanaan Pengajaran dan pembelajaran di Rumah (PdPR) tahun lalu, banyak yang pelajar terlepas kerana mereka tidak mempunyai peralatan dan kelengkapan yang lengkap untuk melakukan eksperimen sebaliknya hanya sekadar menonton video disediakan guru.
“Contohnya pembelajaran mengenai asas menggunakan peralatan seperti mikroskop, sudah tentu mereka tidak memilikinya di rumah dan hanya menonton video yang dikongsi guru dan kaedah itu dilihat kurang berkesan,”katanya ketika ditemui di sekolah berkenaan baru-baru ini.
Dalam pada itu, Guru Pendidikan Islam, Sovri Ismail berkata, subjek Pendidikan Islam juga mempunyai teori dan dan amali, justeru, PdP bersemuka sangat penting supaya pelajar tidak berdepan masalah.
“Untuk KSSM tingkatan empat dan lima, 80 peratus adalah bertulis dan 20 peratus lagi adalah amali malah mereka sepatutnya sudah mula menjalani latihan amali pada bulan ini termasuk amali solat dan bacaan Al-Quran.
“Latihan amali itu akan lebih lancar jika dilaksanakan secara berdepan berbanding melalui atas talian kerana terdapat banyak kekangan antaranya tiada perhatian khusus daripada guru yang membimbing,” katanya.
Sementara itu Pengetua SMART, Mohd. Azmi Othman berkata, terdapat empat tahap dalam elemen pembelajaran iaitu pemindahan pengetahuan, penjelasan, membimbing dan tunjuk ajar serta dorongan emosi dan minda.
Jelas beliau sekiranya guru hanya memberitahu iaitu pemindahan pengetahuan ia mungkin boleh dilakukan secara video dan sebagainya namun ia kurang kukuh dari segi pengajaran malah tahap dua iaitu penjelasan juga masih kurang berkesan.
“Yang terbaik adalah apabila guru dapat membimbing dan memberi tunjuk ajar kepada pelajar dan elemen ini yang ‘hilang’ apabila pembelajaran dilaksanakan secara jarak jauh.
“Membimbing dan tunjuk ajar ini dari segi ‘personal contact’ mesti rapat antara guru dan pelajar, bukan bermaksud ada sentuhan tetapi guru dapat membaca air muka murid, reaksi, bersoal jawab secara bersemuka dan dapat terus menilai,”katanya.
Tambahnya, satu lagi elemen terbaik ialah guru dapat memberi dorongan emosi dan minda kepada pelajar dan elemen ini perlu dilakukan secara bersemuka.
Sementara itu, pelajar yang ditemui di SMART memaklumkan tentang masalah yang dihadapi mereka ketika PdPR dilaksanakan tahun lalu.
Seorang pelajar tingkatan lima, Vida Adriana Richard dari jurusan sains komputer berdepan dengan masalah untuk membuat ‘coding’.
“Masalah yang saya hadapi ialah coding yang dibuat mempunyai ralat dan saya gagal mencari punca ralat terbabit dan saya cuba mendapatkan bantuan guru untuk menyelesaikan masalah itu dengan membuat perkongsian skrin dengan guru namun gagal kerana ia terlalu banyak dan sukar.
“Namun masalah itu dapat diselesaikan apabila persekolahan dibuka semula dan saya dapat bersemuka dengan guru seterusnya membantu mencari punca sebenar ralat terbabit,” katanya di sini, baru-baru ini.
Dalam pada itu, ibunya, Choi Lai Peng, 50, berkata, masalah itu menyebabkan sepanjang hari anaknya cuba menyelesaikan masalah berkaitan ralat itu sehingga mata pelajaran lain terabai kerana dia terlalu fokus kepada subjek itu sahaja.
“Sebagai ibu, sudah tentu saya berasa bimbang jika perkara seperti itu akan menjejaskan pencapaiannya nanti dan disebabkan itu juga saya sangat berharap sesi persekolahan dapat diteruskan seperti biasa,” katanya.
Sementara itu, pelajar jurusan agama, Mohammad Shafiq Nazrin Mohd Sharim,17, berkata, dia mengambil subjek grafik komputer yang melibatkan kerja kursus dan memerlukan pelajar untuk melukis.
“Ketika belajar dari rumah untuk subjek terbabit, saya berdepan kesulitan apabila berlaku masalah tafsir data kerana ukuran dalam gajet tidak sama dengan lukisan sebenar.
“Sama juga dengan subjek Bahasa Arab kerana bagi saya untuk mempelajari bahasa asing, kita memerlukan bimbingan rapat dari guru selain mempraktikkannya bersama rakan sekelas,”ujarnya. -K! ONLINE.