SEJAK malam Isnin lalu, laman sosial dipenuhi keluh-kesah ibu bapa selepas kerajaan mengumumkan penutupan operasi persekolahan seluruh negara selepas cuti Hari Raya Aidilfitri sehingga cuti penggal ekoran peningkatan jangkitan Covid-19.
Dalam tempoh dua minggu antara cuti raya dan cuti penggal, pelajar akan mengikuti sesi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).
Di sebalik kelegaan ibu bapa apabila anak-anak tidak lagi terdedah dengan ancaman Covid-19, golongan ini masih lagi gelisah mengenangkan anak-anak yang terpaksa duduk di rumah tanpa pengawasan orang dewasa kerana mereka sudah mula bekerja di pejabat seperti biasa.
Bukan sahaja perlu memikirkan makan minum anak-anak, mereka juga perlu memikirkan kaedah praktikal buat anak-anak menjalani PdPR.
Melihatkan situasi ini, ternyata pandemik bukan sahaja memberi impak besar kepada ekonomi, sosial, fizikal dan pendidikan, tetapi psikologi.
Sebelum pandemik pada tahun 2019, Kajian Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan mendedahkan hampir setengah juta penduduk di negara ini mengalami kemurungan.
Melihatkan pelbagai masalah menghimpit masyarakat hari ini, angka itu pastinya meningkat.
Pensyarah Kanan di Jabatan Akidah dan Pemikiran Islam, Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya, Dr. Syed Mohammad Hilmi Syed Abdul Rahman berkata, pelbagai kajian terperinci telah dilakukan di seluruh dunia dan juga tempatan terhadap kesan wabak.
Kajian daripada Universiti Khemis-Miliana di Algeria pada tahun 2020 mendapati, kesan psikologi yang paling ketara dalam kalangan komuniti adalah kemurungan.
Ia berikutan perubahan gaya hidup, kehilangan mata pencarian, masalah kekeluargaan, kesukaran mengikuti pembelajaran online serta perasaan resah keterlaluan kerana terpaksa memakai pelitup muka serta takut dijangkiti Covid-19.
“Di Malaysia, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Mercy Malaysia yang menyediakan perkhidmatan kesihatan mental dan sokongan psikososial melalui talian khas dilaporkan menerima lebih 40,000 panggilan setakat Disember 2020.
“Daripada jumlah itu, 50 peratus panggilan berkaitan isu yang memerlukan sokongan kaunseling akibat stres, kemurungan dan kemarahan, manakala 15 peratus berkaitan Covid-19 secara langsung dan bakinya lain-lain isu berkaitan keperluan asas, bantuan kewangan dan kesihatan secara umum,” katanya.
Isu ini mungkin kelihatan lapuk tetapi ia dijangka berulang untuk satu tempoh yang tidak diketahui. Lebih membimbangkan apabila turut memberi kesan kepada tahap kesihatan mental golongan ibu bapa dan mungkin juga pelajar.
Seorang jurutera, Iswan Ibrahim berkata, tiada kalah menang dalam situasi yang dihadapi masyarakat dunia hari ini.
Begitupun sebagai seorang bapa dan inginkan yang terbaik buat anak-anaknya, dia mengharapkan agar satu titik penyelesaian diberikan untuk mengatasi dilema yang membelenggu golongan tersebut.
“Situasi ini seperti diluah mati emak, ditelan mati bapa.
“Kadangkala kami suami isteri tertekan dengan pelbagai kekangan. Bagaimanapun apabila memikirkan soal pembelajaran anak-anak, kami hadapi juga dan cuba positifkan diri.
“Apa-apa pun kita berharap agar pandemik ini cepat berlalu dan anak-anak dapat bersekolah dan pendidikan yang sempurna seperti dahulu,” luahnya.