KUALA LUMPUR – Richiamo Coffee Sdn. Bhd., pemegang lesen rangkaian kedai kopi premium Richiamo Coffee merancang membuka 30 cawangan baharu tahun ini selaras dengan perkembangan permintaan dan pasaran negara ini.
Pengarah Urusannya, Muhamad Zamry Abu Samah berkata, pembukaan cawangan baharu menerusi pelesenan itu bakal mengukuhkan lagi kedudukan jenama Richiamo Coffee yang kini sudah memiliki 42 cawangan di seluruh negara, kecuali Terengganu dan Sabah.
Jelasnya, perkembangan pesat jenama Richiamo Coffee di Malaysia selepas cawangan pertama dibuka di Universiti Utara Malaysia (UUM), Sintok pada 2016 dilihat sebagai peluang terbaik buat usahawan baharu yang ingin menyertai segmen makanan dan minuman (F&B).
“Modal diperlukan untuk membuka Richiamo Coffee adalah RM180,000 hingga RM250,000, yang mana kami akan menyediakan semua kelengkapan, ubah suai premis, stok, peralatan dan latihan pekerja.
“Usahawan berminat hanya perlu menyediakan modal dan kakitangan. Kami akan bantu dalam aspek lain termasuk memuktamadkan pemilihan lokasi bagi memastikan Richiamo Coffee kekal berdaya saing dan maju,” katanya ketika ditemui di sini baru-baru ini.
Menurut Muhamad Zamry, industri F&B dilihat berdaya saing meskipun ketika Perintah Kawalan Pergerakan pertama dilaksanakan pada Mac tahun lalu, dengan 10 cawangan baharu Richiamo Coffee dibuka dalam tempoh berkenaan.