MADRID – Pemain No. 2 dunia, Naomi Osaka berharap tempoh rehat hampir sebulan yang dilaluinya sebelum ini dapat memberi inspirasi untuk tampil lebih menyerlah pada kempen gelanggang tanah liat yang akan dimulakan pada Terbuka Madrid minggu depan.
Sebagai rekod, Osaka memiliki rekod yang kurang baik kerana tidak pernah menjuarai sebarang gelaran WTA ketika beraksi di gelanggang tanah liat selain gagal melangkaui pusingan ketiga Grand Slam Terbuka Perancis.
Osaka yang menjuarai Grand Slam sebanyak empat kali menyertai kejohanan terakhir di Terbuka Miami pada awal bulan lalu yang menyaksikan dia tersingkir di suku akhir sebelum mengambil keputusan untuk berehat.
Kata Osaka, selepas saingan di Terbuka Miami, keputusan untuk berehat sekurang-kurangnya sebulan sebelum mengharungi Terbuka Madrid terpaksa dibuat bagi memberi kesegaran terhadap mental dan fizikal yang agak kepenatan selepas mengharungi jadual padat musim ini.
“Secara jujur, saya sangat kepenatan kerana mengharungi jadual yang agak padat dan terpaksa berehat selama sebulan untuk memastikan diri saya cergas dan segar sebelum mengharungi Terbuka Madrid.
“Keputusan ini sepatutnya saya buat selepas menjuarai Terbuka Australia kerana memerlukan masa untuk menyesuaikan diri dari segi latihan dengan perubahan musim daripada gelanggang tenis biasa ke tanah liat.
“Kini, saya sudah bersedia sepenuhnya untuk memberikan persembahan yang terbaik di Terbuka Madrid dan berharap tuah memihak kepada saya bagi menjuarai kejohanan kali ini meskipun saya jangka bakal berdepan laluan berliku,” kata pemain berusia 24 tahun itu. – AGENSI