SEBUT sahaja siri kartun popular antarabangsa Tom and Jerry, pasti terbayang di kotak fikiran umum kenakalan seekor tikus kecil, Jerry yang suka menyakat kucing bernama Tom.
Bukan sekadar tercuit dengan keletah dua ekor haiwan comel itu, kewujudan keju yang sering menjadi rebutan antara Tom dan Jerry juga antara plot penceritaan yang berjaya mencuri perhatian.
Pendek kata, bayangan Tom, Jerry dan keju sudah melekat dalam imaginasi penonton.
Disebabkan itu, sebaik Siti Nur Hanisa Sallehuddin, 21, memuat naik potongan kek keju berwarna kuning biji sawi yang dihasilkannya, ramai yang menyamakannya dengan keju yang dilihat di dalam kartun tersebut. Tidak kurang juga ada yang menyangka itu merupakan aksesori atau perhiasan.
Mana tidaknya, potongan kek yang kemas dan licin strukturnya seperti plastik menyebabkan ramai yang tersalah tafsir.
Bagaimanapun, sebaik mengetahui itu merupakan kek sebenar dan dihasilkan sendiri oleh graduan Diploma Seni Lukis dan Seni Reka Perindustrian daripada Universiti Teknologi Mara, Lendu Melaka, ramai yang terpegun dan mula mengagumi air tangan gadis itu.
Dek keterujaan itu juga, kek tersebut tular di laman media sosial sejak awal Julai lalu.
Menurut gadis yang mesra disapa Nisa ini, idea untuk menghasilkan kek keju itu datang secara spontan sewaktu kerajaan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada bulan Mac lalu.
“Ketika itu, saya sedang bercuti sementara menunggu peluang melanjutkan pengajian di peringkat Sarjana Muda dalam jurusan sama.
“Kebetulan, sepanjang tempoh tersebut saya terlihat video seorang YouTuber dari luar negara yang dikenali sebagai Seodam menghasilkan kek keju.
“Sebagai individu yang sukakan sesuatu yang sangat unik dan comel, saya terus mencuba menghasilkan kek itu,” katanya.
Menurut Nisa, biarpun sebelum ini dirinya tidak pernah menghasilkan kek seperti itu, namun dia tidak menyangka percubaan kali pertamanya membuahkan hasil.
Katanya, kek tersebut kelihatan cantik dan sempurna seperti yang dilihat dalam siri kartun di kaca televisyen.
“Ini adalah kek sebenar. Di dalamnya kek berperisa oreo yang dibuat sendiri sebelum ia dilapisi coklat putih di luar untuk membentuk keju.
“Semua ini saya belajar sendiri dan tidak pernah mendapat pendidikan bidang pembuatan kek secara formal. Paling tidak pun, saya akan merujuk keluarga atau bahan bacaan di internet,” jelasnya.
Bermula daripada sekadar suka-suka bagi mengisi masa lapang, kek yang dihasilkan oleh Nisa mendapat permintaan sehingga dia tidak menang tangan membuatnya.
Disebabkan permintaan ramai, bermodalkan RM500, dia mula menjual kek keju tersebut.
Kek yang dikenali sebagai Ciciz yang diinspirasikan daripada bunyi cit-cit yang dihasilkan tikus dengan ciz sebagai singkatan cheese itu dijual pada harga RM10 sepotong.
“Saya tidak sangka boleh menjadi tular memandangkan sebelum ini ada sahaja penjual kek yang pernah menjual kek keju.
“Permintaan yang diterima sangat memberangsangkan sehingga saya terpaksa menolak sesetengah tempahan disebabkan faktor lokasi,” katanya.
Menurut Nisa lagi, biarpun sebelum ini pernah menghasilkan kek, namun bagi Ciciz, dia mengambil masa sebulan untuk berkesperimentasi dengan bahan-bahan sebelum berpuas hati dengan hasil diperoleh.
“Sehari saya boleh hasilkan lebih kurang 120 biji, bersamaan 60 kotak. Setakat ini, sebanyak 600 biji kek dijual.
“Saya juga cuba beberapa jenis coklat dan bahan-bahan lain untuk disesuaikan dengan Ciciz bagi mengurangkan kemanisan kek. Ini memandangkan sesetengah individu tidak makan coklat putih kerana terlalu manis,” jelasnya.
Selain kek berbentuk keju, Nisa juga merancang untuk membuat kek comel lain seperti ekor ikan duyung, selain mencipta beberapa perisa lain pada masa akan datang.
“Buat masa ini, saya hanya akan membuat kek di rumah kerana mahu menyambung pengajian di peringkat Ijazah Sarjana Muda. Saya juga finalis pertandingan perabot rekaan industri Malaysia International Furniture Fair 2020 dan mahu menyambung cita-cita untuk menyambung pengajian dalam bidang yang dipelajari.
“Ciciz jadikan semua ini platform untuk saya teruskan minat walaupun masakan bukan bidang pengajian saya,” katanya.