Oleh NUR NABILAH RAHMAT
KLUANG – Gara-gara kelantangan dan ketegasannya, Ketua Polis (KP) Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay tidak menafikan kemungkinan ada pihak yang tidak suka dan boleh melakukan apa sahaja termasuk sihir ke atas dirinya.
Namun bagi Ayob khan, soal rezeki hidup dan mati bukan ditentukan oleh manusia melainkan Allah SWT namun sekiranya ketakutan terhadap makhluk menguasai diri, seseorang itu tidak dapat melakukan pekerjaannya.
“Bagi sayalah, kita jangan angkuh, jangan cakap besarlah, paling penting kita buat kerja ikhlas, kalau kita buat kerja ikhlas kerana Allah, yang lain jangan bimbang.
“Orang akan buat, atur atau sekat, tapi kalau Allah dah tentukan wahai Ayob kamu akan mati pukul 12.05 minit sakit jantung ketika memberi syarahan di Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN) Kluang, saya akan matilah.
“Allah yang tentukan, wahai Ayob kamu akan pencen sampai KP Johor kamu tak boleh pergi lagi atas, pencen KP Johorlah.
“Jadi rezeki hidup mati kita bukan manusia yang tentukan tapi Allah yang tentukan, kalau tuan-tuan takut maknanya tuan-tuan takkan dapat kerja tuan-tuan,” ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika Majlis INTAN Executive Lecture Series : Integriti, Penghayatan, Praktik dan Cabaran di INTAN Kampus Wilayah Selatan di sini hari ini.
Pada masa sama, beliau tidak menafikan amalan sihir tidak dapat lari daripada realiti kehidupan masyarakat hari ini namun beliau turut berkongsi amalan tertentu sebagai benteng diri daripada terkena sihir.
“Memanglah orang-orang khususnya orang Melayu kita lah, dia tak boleh tengok orang lebih daripada dia. Dia akan gunalah, tak boleh berdepan dia guna cara halus, tak boleh hak ni dia akan guna bomoh siam, macam macam ada orang yang terkena banyak lah kan.
“Insya-Allah, ayat surah Yassin kan ayat kesembilan itu pendinding, kalau nak keluar rumah pun baca, Insya-Allah selain daripada ayat kursi.
“Tetapi nak kena yakin lah, memanglah benda-benda mistik ada, bukan tak percaya tapi kamu jangan yakin mereka yang menentukannya.
“Jangan tuan-tuan, ada amalan tuan-tuan haa tembak tembak tembak, saya dah dapat ayat dari tok Ayob dah ayat daripada surah ini ayat ni tembak tak lut.
“Jangan macam itu, kita jangan angkuh, tapi kita yakin Allah itu ada, Insha Allah,” katanya. -K! ONLINE