fbpx

KPM ambil kira idea semua pihak mansuhkan UPSR

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Radzi

PETALING JAYA – Keputusan Kementerian Pendidikan (KPM) memansuhkan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) bermula tahun ini dibuat berdasarkan penelitian mendalam dan terperinci.

Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr. Radzi Jidin berkata, pihaknya telah mengambil kira pandangan pihak berkepentingan melalui sesi libat urus secara menyeluruh.

“Kami telah mengkaji secara holistik pelaksanaan UPSR sejak ia dibatalkan tahun lalu termasuk meneliti amalan terbaik sistem pentaksiran sekolah rendah di pelbagai negara seperti Finland, Norway, New Zealand dan Scotland.

“Sesi libat urus tersebut membabitkan hampir 2,000 peserta terdiri daripada guru tahun enam, guru besar, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) yang mewakili suara ibu bapa termasuk bertemu dengan calon UPSR sendiri,” katanya menerusi akaun sosial Facebook rasminya hari ini.

Katanya, seorang guru besar yang berkhidmat selama 16 tahun telah meluahkan penyesalan kerana banyak ‘mencuri’ masa mata pelajaran lain untuk memberi tumpuan kepada subjek UPSR semata-mata.

“Guru terbabit mengaku telah tidak berlaku adil kepada anak murid dan memohon agar UPSR tidak diteruskan. Dia berharap mereka menimba pelbagai ilmu dalam suasana yang menyeronokkan,” katanya.

Beberapa orang guru yang mengajar Sains pula berkata, mereka tidak sempat mengendalikan eksperimen bagi menjadikan mata pelajaran tersebut lebih menarik kerana terkejar-kejar menghabiskan silibus.

Ini kerana murid lazimnya diberi tugasan latih tubi berterusan sehingga hari peperiksaan sehingga ada guru mengatakan fokus kepada latihan UPSR menyebabkan murid tiada ruang mendalami ilmu dalam mata pelajaran lain.

Radzi memberitahu, selain itu, guru sukan dan kokurikulum juga mengatakan ramai murid tahun enam yang berpotensi dalam bidang sukan dan kokurikulum tidak dibenarkan untuk diganggu kerana perlu fokus dengan UPSR.

Katanya, ada ibu bapa juga yang mengakui kecemerlangan dalam UPSR tidak semestinya menjadi penentu kejayaan murid pada masa depan.

“Tidak kurang juga yang menceritakan bagaimana sahabat mereka yang dahulunya di sekolah rendah tidak cemerlang dan jauh terbelakang, akhirnya cemerlang dalam karier masing-masing.

“Dalam menceritakan hal ini, seorang bapa berkata, ‘Waktu UPSR dahulu, saya jauh lebih cemerlang tetapi sekarang, dia dah belajar sampai doktor falsafah dan amat berjaya dalam karier. Bila masanya dia pandai, saya pun tak tahu’,” katanya.

Radzi berkata, paling berbekas dalam ingatannya ialah apabila mendengar luahan hati seorang murid tahun enam yang menghadapi tekanan dengan ujian penilaian tersebut.

“Pelajar itu beritahu dia tak pandai tetapi emaknya selalu tekan supaya dapat 6A. Sekarang ini, dia jadi takut jika tak dapat capai kehendak emaknya itu,” ujarnya.

Radzi menyifatkan tidak semua pihak akan berpuas hati dengan tindakan yang diambil namun apa yang penting setiap keputusan telah dibuat secara objektif bertunjangkan asas yang kukuh serta analisis mendalam. -K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI