PETALING JAYA – “Selalu ingat, tiada yang sempurna kecuali Dia.”
Itu respons penyanyi dan pelakon Nabila Razali berhubung kandungan sebuah video tular yang memaparkan seorang gadis membandingkan kualiti nyanyiannya dengan Biduanita Puan Sri Saloma.
Menurut Nabila, dia pada awalnya tidak mengetahui kewujudan video berkenaan sehinggalah seseorang mengirim kepadanya.
Ujar pemilik nama penuh Nur Nabila Mohd Razali, 29, dia sejujurnya tidak mengetahui niat gadis berkenaan dan enggan melayani kandungan sebegitu.
“Saya sedar kelemahan dan kekurangan diri dan ya, sesetengah orang mengambil masa yang lama untuk mahir dalam sesuatu perkara kerana semua manusia dilahirkan dalam keadaan berbeza.
“Bagi saya, jangan merendahkan orang lain kerana merasakan diri anda lebih bagus. Beri kritikan membina, bukannya menjatuhkan. Palinh penting percaya dengan proses dan takdir,” katanya dalam InstaStory.
Enggan menyimpan dendam, pelantun lagu Peluang Kedua itu turut memaafkan gadis tersebut pada bulan mulia ini.
“Walau apa sahaja niatnya, saya maafkan. Saya cuma mahu wujudkan kesedaran supaya kita menggunakan media sosial dengan berhemah.
“Ini kerana kita tidak pernah sedar bahawa setiap perkataan yang digunakan mungkin melukakan dan menghancurkan impian seseorang,” katanya lagi.
Dalam masa sama, bekas pelajar Akademi Fantasia itu turut mengingatkan semua pihak bahawa tiada manusia yang sempurna di muka bumi ini.
“Terakhir sekali, selalulah ingat bahawa tiada yang sempurna di antara kita melainkan Dia,” ujarnya.
Sejak beberapa hari lalu, tular sebuah video TikTok memaparkan seorang gadis yang bercerita tentang pensyarahnya mendakwa Nabila telah berlatih menyanyi dalam tempoh setahun namun masih tiada improvisasi.
Dalam video itu juga, Nabila turut dibandingkan dengan Saloma yang hanya memerlukan satu hari sahaja untuk membuat persembahan di atas pentas.
Untuk rekod, Nabila pernah menerima kecaman hebat selepas terkucil ketika membuat persembahan lagu Peluang Kedua pada pentas Anugerah Juara Lagu ke-35 pada Mac lalu. – K! ONLINE