JOHOR BAHRU – Tindakan pantas pekerja stesen minyak berjaya menidakkan usaha seorang wanita yang cuba membakar diri berhampiran sebuah stesen minyak di Taman Teratai, Kangkar Pulai, dekat sini kelmarin.
Dalam kejadian pukul 8.29 pagi itu, wanita berusia 30 tahun yang dipercayai mengalami kemurungan melecur hampir keseluruhan badannya.
Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner Dzulkhairi Mukhtar berkata, berdasarkan maklumat pekerja tersebut, wanita itu membeli minyak petrol RM5 sebelum menyiram ke badannya dan jalan raya berhampiran stesen minyak lalu membakar diri.
“Pekerja itu berusaha memadamkan api dengan menggunakan alat pemadam yang sedia ada di stesen minyak tersebut sebelum menghubungi Balai Polis Kangkar Pulai bagi memaklumkan kejadian itu.
“Wanita tersebut yang berada dalam keadaan tenat segera dibawa ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) di sini untuk rawatan susulan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, hasil pemeriksaan mendapati wanita itu mengalami lecuran di beberapa anggota badan termasuk bahagian muka, dada, perut dan belakang badan.
Katanya, menurut keterangan ibu mangsa yang berumur 60 tahun, anaknya itu pernah mendapatkan rawatan di hospital sejak November tahun lalu kerana kemurungan.
Jelasnya, mangsa dimaklumkan tinggal seorang diri sejak ibu bapa mangsa bekerja di Singapura.
“Mangsa kini akan dipindahkan ke wad biasa untuk rawatan susulan,” katanya. -K! ONLINE