PUTRAJAYA – Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) menyarankan pusat beli-belah yang menjadi tumpuan orang ramai mendapatkan persiapan hari raya disanitasi secara kerap bagi mengelak penyebaran Covid-19.
Menterinya, Datuk Zuraida Kamaruddin berkata, pusat beli-belah itu juga perlu melantik sendiri syarikat yang menjalankan perkhidmatan sanitasi selain perlu lebih kerap menjalankan kerja-kerja sanitasi ketika musim perayaan kerana jumlah pengunjung dijangka lebih ramai berbanding hari biasa.
“Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) akan memastikan semua pusat beli-belah mematuhi prosedur operasi standard (SOP) melalui kuasa yang diberikan termasuk menasihati pengunjung serta mengenakan kompaun.
“KPKT juga hanya akan melakukan sanitasi di pusat beli-belah sekiranya mendapat nasihat daripada Pejabat Kesihatan Daerah (PKD),” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri majlis penutup pertandingan tilawah al-Quran, hafazan dan azan Piala Menteri KPKT di Ibu Pejabat Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Putrajaya di sini hari ini.
Pertandingan itu bermula 19 April hingga 23 April lalu membabitkan 84 penyertaan iaitu 30 penyertaan azan, 20 penyertaan tilawah al-Quran lelaki (qari), 10 penyertaan tilawah al-Quran wanita, 15 penyertaan hafazan lelaki dan sembilan penyertaan hafazan wanita.
Pada program itu juga, Zuraida turut menyampaikan sumbangan Ramadan kepada 46 kakitangan ibu tunggal dan golongan kurang upaya (OKU) daripada kumpulan B40.
Sementara itu, beliau berkata, memandangkan jumlah jangkitan Covid-19 yang semakin meningkat, pihaknya juga akan mengadakan pusingan ke dua sanitasi di tempat awam dan bangunan kerajaan.
“Setakat hari ini, sebanyak 7,413 premis kerajaan termasuk 311 pusat tahfiz telah disanitasi membabitkan anggota bomba, PBT dan agensi lain.
“Sempena hari raya Aidilfitri nanti juga hanya 20 peratus anggota bomba dibenarkan bercuti, manakala 10,000 yang lain akan bertugas dan bersiap sedia bagi menghadapi segala kemungkinan bencana alam, kemalangan, pematuhan Covid-19 dan lain-lain,” katanya. – K! ONLINE