LONDON – Pelumba Repsol Honda, Marc Marquez mungkin terpaksa melupakan sementara mengenai perebutan gelaran dunia musim ini untuk memastikan keadaannya benar-benar pulih.
Musim ini adalah fasa terburuk bagi pelumba Sepanyol tersebut dalam kelas premier selepas gagal meraih sebarang mata dalam dua siri perlumbaan MotoGP 2020.
Keadaan itu disebabkan insiden kecederaan yang menimpa Marquez pada Grand Prix (GP) Sepanyol apabila terjatuh hingga mengalami patah lengan kanan sehingga terlepas dua pusingan perlumbaan.
Meskipun Marquez sempat menjalani sesi latihan GP Andalusia, namun pelumba berusia 27 tahun tersebut akhirnya membuat keputusan untuk menarik diri kerana mengalami kesakitan biarpun disahkan cergas.
Marquez bertekad segera kembali dan mengakui akan bekerja keras untuk turun beraksi pada perlumbaan GP Republik Czech meskipun menyedari keadaannya belum cergas 100 peratus untuk tampil cemerlang di Litar Brno.
“Sudah pasti saya tidak akan cergas 100 peratus di Brno tetapi saya akan bangkit pada perlumbaan di Red Bull Ring nanti. Masalah yang saya hadapi ketika ini adalah kecederaan tangan kanan.
“Seperti yang kita tahu, semua litar mempunyai selekoh kanan yang lebih banyak dan sudah pasti sukar untuk saya tampil dengan aksi yang baik.
“Keadaan fizikal adalah keutamaan tetapi tujuan kedua adalah mengenai kejuaraan. Masih banyak perlumbaan dan apa sahaja boleh berlaku. Saya tidak pernah berputus asa dan sudah bersedia untuk memburu kemenangan,” ujarnya. – AGENSI