KUANTAN – Disebabkan tiada capaian internet di rumah, ada murid yang terpaksa berdiri di luar rumah bagi mengikuti kelas secara online yang dianjurkan guru.
Perkara itu didedahkan guru Bahasa Melayu dan Sains, Sekolah Kebangsaan (SK) Tengku Azizah, Roziah Shamsuddin apabila ditanya mengenai cabaran yang dihadapi ketika pelaksanaan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) pada tahun lalu.
Roziah berkata, ibu bapa telah mengirimkan gambar menunjukkan gelagat anak mereka yang bersusah payah untuk mendapatkan capaian internet yang stabil sehingga terpaksa berdiri di luar rumah semata-mata untuk mengikuti kelas dalam talian.
“Itu antara situasi yang terpaksa murid hadapi apabila PdPR dilaksanakan malah kami sendiri sering mendengar keluhan ibu bapa mengenai pelbagai kesulitan yang dihadapi ketika itu.
“Jadi PdP secara bersemuka adalah langkah terbaik dan jika keadaan terlalu mendesak, saya mencadangkan sesi persekolahan dibuat secara bergilir bagi memastikan proses PdP secara bersemuka dapat terus dilaksanakan,”katanya ketika ditemui di sekolah berkenaan di sini baru-baru ini..
Sementara itu, Guru Besar SK Tengku Azizah, Sharipah Hadibah Habib Noh berkata, murid sekolah rendah berhadapan dengan cabaran yang lebih besar berbanding pelajar sekolah menengah apabila PdPR dilaksanakan.
Jelas beliau, ini kerana murid sekolah rendah masih bergantung kepada ibu bapa sepenuhnya untuk menguruskan segala keperluan mereka berbanding pelajar sekolah menengah yang moleh menguruskan sendiri.
“Contohnya untuk persediaan kelas dalam talian, ibu bapa perlu menguruskan anak-anak mereka dari awal termasuk membuka aplikasi, memantau sesi pembelajaran serta membimbing mereka menyiapkan tugasan.
“Jadi sudah tentu perkara ini akan menambahkan lagi bebanan ibu bapa terutama yang bekerja,”katanya.
Dalam pada itu, seorang guru, Syarifah Salwa Syed Mad Damsuri menyokong agar PdP secara bersemuka dikekalkan kerana sebagai ibu kepada empat anak berusia enam hingga 12 tahun, beliau sangat memahami kesulitan dialami kedua pihak.
“Sebagai ibu, saya dapat rasai bagaimana sukarnya untuk menguruskan empat anak serentak supaya mereka dapat mengikuti kelas dalam talian dan dalam masa sama saya juga perlu mengajar secara dalam talian.
“Saya akui sangat penat untuk menguruskan semuanya serentak namun untuk mengelak keadaan kelam kabut, saya mengambil inisiatif dengan membuat senarai semak untuk anak-anak supaya mereka lebih teratur,” ujarnya.
Sementara itu, Yang DiPertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Kebangsaan (SK) Tengku Azizah, Abdul Razak Ahmad berkata, pelaksanaan PdP dengan pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) dilihat dapat memberi manfaat kepada murid-murid dan ibu bapa.
“Kebanyakan ibu bapa sekarang sudah kembali bekerja atau berniaga, sekiranya sesi persekolahan ditutup maka anak-anak terpaksa belajar di rumah.
Ini tentunya akan menjejaskan jadual kerja atau perniagaan mereka.
“Hantar anak ke sekolah adalah lebih selamat berbanding tinggalkan mereka di rumah apabila ibu bapa terpaksa keluar bekerja malah ada sesetengah rumah yang tidak kondusif untuk sesi pembelajaran secara online, ini akan menjejaskan perkembangan pelajaran murid,” ujarnya.
Ditanya pendapat seorang murid darjan enam, Nur Arissya Sofea Zulnizam berkata, dia lebih suka ke sekolah kerana lebih mudah untuk memahami pengajaran guru berbanding belajar dengan kelas dalam talian.
Katanya masalah internet yang lemah menyebabkan pengajaran yang dibuat guru tidak jelas seterusnya menyebabkannya tidak dapat melakukan tugasan yang diberi.
“Jika tidak faham atau ada masalah saya tidak tahu ingin bertanya kepada siapa kerana ibu dan ayah bekerja manakala abang pula ada kelas dia sendiri.
“Di sekolah saya rasa lebih bersemangat untuk belajar kerana ada ramai kawan selain boleh bertanya terus kepada guru jika tidak faham,”ujarnya.